Thursday 5 May 2016

Sejarah di sekeliling Air Molek

Ramai yang tidak mengetahui bahawa terdapat banyak catatan sejarah yang berlaku di persekitaran luar kampung Air Molek. Atau barangkali sekadar mendengar cerita mulur ke mulut.

Jika dilihat, objek paling berhampiran adalah Sungai Linggi yang dikatakan menjadi penghuni ratusan ekor buaya. Dan terdapat pula pelbagai spesis udang yang enak dimakan dan menjadi buruan nelayan sungai. Walaupun banyak buaya yang mendiami Sungai linggi, namun beluam ada kes serangan buaya yang berlaku. Nelayan bebas menagnkap udang dan mencari rezeki lain.

Di sebalik itu Sungai Linggi ini pernah menjadi laluan Raja Melewar, Yang Dipertuan Negeri Sembilan sewaktu datang dari Pagar Ruyong. Sungai ini dikatakan panjang bermula dari muaranya di Kuala Linggi hingga ke Rembau. Dahulu kapal-kapal dagang keluar masuk membawa bijih timah. Maka dengan itu wujudnya Balai Kastam di Pengkalan Kempas yang kini tinggal puing-puingnya sahaja. Di muara Sungai Linggi pula terbinanya sebuah kota yang dikenali dengan nama Kota Bukit Supai. Kota lama ini juga menempatkan sebuah Makam raja dan pembesarya di Pusara Aman Kuala Linggi. Di sinilah Belanda mengawal keluar masuk bijih timah.

Dan jika anda memasuki Bukit Buang dari tepi Taman Rebana Jernih, dan terus ke hujungny, anda akan temui tebing Sungai Linggi. 30 meter dari tebing tersebut terdapat sebuah kubur yang dipercayai kubur milik Jepun atau kaum Cina. Tidak tahu siapa pemiliknya.

Sebelum anda tiba di Kuala Linggi anda akan menemui sebuah tempat yang dikenali sebagai Tajung Meriam Patah. Sejarah tempat ini juga menarik kerana kononnya seorang pahlawan Melayu wanita gugur di sini. (Saya masih mencari mnaklumat)

Terkini

Tahniah dan sekalung penghargaan kepada insan yang membina pusat tahfiz dan pesat pengajian AlQuran di Air Molek. Satu usaha yang amat murni. Dengar pusat ini telah mula mengambil pelajar yang terdiri dari anak-anak hinggalah orang dewasa dengan percuma. Semoga usaha ini akan mengembangkan lagi syiar Islam di Air Molek.

Pusat ini di bina di hadapan rumah aruah Imam Kadat dan aruah Bilal Karim. Seingat saya terdapat sebuah surau di situ dahulu. Akan meriahlah Air Molek dengan aktiviti keagamaan. Dengarnya juga pusat tersebut telah memulakan aktiviti pertama dengan ceramah agama. Alhamdulillah.

Pagar masjid juga telah diberikan warna baru. Kerja-kerja mengecat telah dilaksanakan dan kini sebuah kolah turut dibina bagi memudahkan penduduk kampung mengambil wuduk. Tahniah juga kepada JK Masjid yang mengambil inisiatif menyediakan kemudahan untuk orang ramai.

Air Molek.........
             Kampung kecil ini mencatat ratusan ceritera yang tidak bertulis, melahirkan pahlawan yang tidak didendang, pengumpul hasil hutan yang terkenal malah kini menjadi laluan utama dari negeri jiran, Negeri Sembilan ke Melaka atau Johor serta Kuala Lumpur. Kampung ini masih gagah berdiri, mencatat sejarah demi sejarah. Melakar catatan suka duka anak desa yang kembara dari masa ke semasa.

2016
           Mencatat pemergian ramai warga emas yang kembali ke penciptanya. Seingat saya telah mencatat 8 orang. Bermula dari Puan Dara (Isteri Ahmad Johor-Mat Cicak), Abg Omar (suami Kak Senah) rumahnya berhadapan dengan aruah Puan Dara, Pakcik Hassan (bersebelahan dengan rumah Puan Dara). Pemergian mereka berselang hari. Pakcik Hassan ini adalah antara anggota Special Constable yang bertugas sewaktu darurat dahulu.

           Kemudian diikuti pula dengan Wan Senyah, mertua Noja Samsudin akibat sakit tua. Kemudian pula oleh Cikgu Ishak Dumum (cikgu Dollah) aruah mak saya Puan Norliah Rahim, Wan Sahari Jais  dan yang terakhir Pn Noriah Saiman, Ibu saudara saya. Aruah adalah anak kepada Wan Nyonya. Rumahnya dahulu di hilir bersebelahan rumah Long Bahari Bedul.

           Semoga Allah mencuciri rahmat ke atas mereka dan di tempatkan di kalangan orang-orang yang terpilih di sisi Allah




Wednesday 14 October 2015

KORBAN KELOMPOK 2016

Salam Ukhuwah


Berbual dengan Imam 2-Imam Kamaludin. Beliau memaklumkan bahawa KORBAN KELOMPOK BAGI TAHUN 2016 akan dilaksanakan bermula Bulan Oktober ini. Kadar bayarannya RM600.00 bagi satu bahagian. Boleh bayar RM60.00 sebulan kepada Imam 2.


Bagi yang berminat bolehlah bertanya-tanya dengan beliau. sama-samalah kita berkorban untuk tahun akan datang

Wednesday 30 September 2015

MAJLIS QURBAN KELOMPOK MASJID AR-RAFAI

Terlibat membantu majlis Qurban Aidil Adha yang baru berlalu. Pujian dan sanjungan harus diberikan kepada mereka yang menjadi tulang belakang majlis ini. Khabarnya 7 ekor lembu ditumbangkan oleh mereka yang melaksanakan acara ini.


Menariknya apabila system kupon diperkenalkan buat kali pertama. Awalnya sukar diterima tetapi setelah berjalan, baru kelihatan kesannya. Tidak ada yang terlepas dari menerima  bahagian. Dan Nampak lebih adil. Sebuah rumah untuk satu sumbangan bukan dikira menurut bilang keluarga dalam rumah. Ini membolehkan hamper 400 bungkusan daging seberat 900 gram disediakan dan diagih kepada penduduk kampong dan juga Taman Rebana Jernih.


Namun ada juga segelintir yang cuba mencari kesilapan. Daging yang diterima ditimbang. Memang ada sedikit perbezaan 905 gram atau 903 gram. Bagi saya terlalu kecil masalah ini jika dibandingkan dengan kepenatan sukarelawan menjalankan tugasan dari jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang. Bersyukurlah kita menerima sumbangan bukan mencari kesilapan hingga yang sekecilnya dijadikan isu.


Di Kampung satu nama tertinggal tetapi dapat dikesan untuk diberikan sumbangan pada masa yang sama. Di Taman dua nama tertinggal. Bukan disengajakan bayangkan Pengerusi surau berjalan dari rumah ke rumah mencari maklumat. Sesuatu yang penat


Apapun tahniah bagi mereka yang melaksankan tugas dengan cemerlang. Tahun hadapan akan khabarnya usaha ini akan dilakukan lagi. Syabas

Tuesday 21 April 2015

BARANG LAMA DI KEDAI PAK LONG SAHAL
            Anda meminati barangan antic atau mahu melihat barangan yang pernah digunakan. Bertandanglah ke kedai Pak Long Sahal. Macam-macam anda boleh lihat. Lampu yang digunakan sebagai lampu isyarat di stesyen keretapi, lampu gaslin, bakul Si’a, batu giling, piring hitam lama, pemain papan hitam, mesin taip lama dan entah apa lagi.

            Pak Long Sahal banyak menyimpan artifak lama dan kini dipamerkan di kedainya. Tersusun di satu sudut. Banyak barangan lama yang mungkin tidak pernah dilihat boleh ditemui di sana.

            Pak Long Sahal bekerja dengan MPPJ dan beliau menjadi pengumpul barangan antic dan kini menjadikan barangan antic sebagai bahan pameran. Kreatif juga otai ni.


MOTOR VESPA
            Dulu di Air Molek banyak kelihatan motor Vespa tetapi yang kini tinggal sebuah dua. Yang berfungsi milik Tuk sidang Sirun. Warna hijau dan terjaga baik.Vespa suatu kebanggaan di tahun 70an dan 80an dan juga sebelum itu. Aruah Cikgu Aim, Cikgu Kari juga memiliki Vespa dan Lambreta. Selain itu, Wak Jun, Pak Aim aruah Pak Long Samah juga memliki Vespa. Ada yang siap dikelepet bahagian depan. Abbas, menantu Wan Nah juga pernah memiliki Vespa suatu masa dulu. Generasi kini tidak lagi menggemari Vespa kerana lebih menyukai Scooter. Harga Vespa juga telah mahal atau spare part sukar dicari.

            Kini Vespa telah menjadi bahan antic Pelbagai motosikal baru telah keluar dengan pelbagai nama dan kelebihan sama ada buatan Malaysia atau luar negara. Honda, Yamaha, Suzuki, Kawasaki berlumba-lumba mengeluarkan model baru. Turut serta Modenas. Pakcik saya, Pakcik Kanton masih memliki sebuah Honda C70. Dibeli waktu bekerja dengan JKR. Masih boleh berfungsi dan bergerak.

SEJARAH YANG TIDAK TERLUPAKAN


            Waktu itu saya di maktab perguruan. Selepas kuliah melepak di ruang tamu sambil membaca akhbar. Terkejut apabila membaca berita tragedi penduduk kampong meninggal dunia akibat dipanah petir. Satu tragedy. Kedua-duanya sehidup semati. Alangkah bahagianya mereka.

            Kini anak-anak aruah telah menggapai awan. Telah Berjaya sebagai pendidik, doctor. Pengorbanan yang diberikan membuahkan hasil. Benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau jua. Saya teringat wajah aruah yang sentiasa tersenyum sepanjang hayatnya. Biarpun peristiwa itu telah lama berlalu namun sukar di lupakan.

            Saya juga masih teringat tentang lawatan YAB Timbalan Perdana Menteri ke Air Molek. Lama dahulu. Saya baru tamat tingkatan enam. Riuh rendah kampong dek tetamu yang hadir dari seluruh kawasan parlimen. Kebetulan masa itu pilihanraya.

            Terbakarnya rumah Datuk Lassim, rumah Datuk Said (bapa aruah cikgu Ibrahim Said), rumah Datuk Leman juga menjadi catatan dalam sejarah Air Molek. Semuanya menjadi puing-puing yang mencantumkan sejarah Air Molek dan mungkin akan hilang tanpa catatan.
            Rumah kayu telah berganti dengan rumah batu. Tersergam indah biarpun penghuninya telah kembali menemui penciptnya. Ada juga rumah yang reput menyembam tanah kerana anak-anak telah berhijrah jauh.


            Kini semuanya telah berubah. Sawah tiada tetapi berganti kelapa sawit. Tiada lagi kubang untuk ditimba. Tiada lagi benteng untuk berenang. Ancak dan limas telah lama pupus dalam kamus anak-anak Air Molek. Kereta lembu, mandi safar, dondang sayang, pulih rumah, telah lama sirna. Kini anak muda berkereta besar, berjawatan tinggi dan mampu  membantu anak kampong yang lain. Sejarah yang berputar, peristiwa beredar tidak akan mengubah jati diri anak Air Molek. Sesekali pulang beramah mesra dengan rakan sebaya. Tetapi ada juga yang sekadar melintas kumpulan kawan-kawan di kampong tanpa tegur sapa. Kadang-kadang berselisih bahupun jarang menegur. Adat dunia.