Tuesday 10 September 2013

AKTIVITI ANAK KAMPUNG


Terdapat beberapa aktiviti yang popular waktu itu. Malah aktiviti tersebut menjadi rutin mereka. Antaranya Sepak takraw di Balai Raya. Ramai jaguh-jaguh di kampong kita rupanya. Antaranya En Ahmad Saad yang pernah bermain untuk negeri. Petang dihabiskan di Balai raya sama ada untuk bermain takraw kemudian waktu malamnya bermain badminton.

Selain aktiviti riadah, mencari ikan sawah juga popular di kampong. Antara yang mahir adalah aruah cikgu Ibrahim Said dan kini hobinya diteruskan oleh anak beliau Saudara Khalid. Serkap, jala, joran adalah alat penting sama seperti kayu golf orang-orang dibandar. Selain Cikgu Aim, antara yang mahir dalam mencari ikan sawah adalah aruah Pakcik Gamat, ayah saudara Rosli dan ramai lagi. Kini beberapa muka baru menjadi otai mencari ikan. Antara Bilal Ali atau Ali Iban. Kalau ke sungai, seingat saya antara pelopornya Pak Long Meon dan kini usahanya diteruskan oleh anak beliau, abang Ramli/Keram.

Madu atau gula. Masih lagi diteruskan oleh anak-anak kampong kita. Satu usaha yang berisiko tetapi lumayan. Harga kini menjangkau RM80.00 sebotol. Antara yang masih bergiat mencari madu lebah antaranya Bilal Ali, Pakcik Kidon dan beberapa orang lagi.

Kini penduduk Air Molek menghabiskan masa dengan berternak lembu, kambing dan kerbau.. Malah ada yang menjadi usahawan Berjaya.  Selain berternak, ada yang berniaga, membuka kedai minum, kedai runcit dan sebagainya.

UNIKNYA KENDURI KAHWIN DI AIR MOLEK

Ramai yang memuji masakan yang enak oleh tukang masak di Air Molek. Ramai yang tidak mengetahui bahawa di kampung kita ini terdapat sedikit perbezaan dalam urusan kenduri kahwinnya. Jika dahulu, sebelum majlis berlangsung akan didahului dengan satu majlis yang dipanggil PAKAT. Pakat bermaksud satu majlis perbincangan antara tuan rumah dan penduduk kampung tentang perjalanan majlis. Biasanya diketuai oleh Sidang. Dalam majlis ini akan ditentukan siapakah yang akan menjadi ketua tukang masak bagi lelaki dan perempuan. Masa menyiang daging dan sebagainya. Apabila ini telah dipersetujui, tuan rumah akan menyediakan segala yang diperlukan.

Majlis perkahwinan dahulunya berlangsung dua hari. Jika bermula hari Sabtu, akan dipanggil "Petang Meletak Kerja". Biasanya persediaan untuk hari langsung akan dilakukan pada hari ini.Dan diikuti dengan jamuan makan. Makanannya pula terpulang kepada tuan rumah sama ada mahu menghidangkan gulai ayam mahupun makanan eksotik lainnya seperti gulai cempedak atau nangka, cendawan kukur. Persediaan untuk jamuan pada sebelah malam yang dipanggil malam berinai juga akan dilakukan. Makanan seperti bubur kacang, bubur pulut hitam, mee hoon akan disediakan.

Malam Berinai atau malam berarak akan bermula selepas Isyak. Malam tersebut menyaksikan persandingan pengantin, bunga api dan berinai. Bunga apinya pula adalah bunga api Melaka. Yang diperbuat dari buluh. Tempat tempahannya di Tanjung Bidara.. Anak-anak muda akan berebut-rebut mengambil peluang menyalakan bunga api. Waktu itu lampu gaslin memainkan peranan penting. Menerangi pengantin dan kawasan majlis perkahwinan.

Ada juga sesetengah tuan rumah yang mengadakan majlis "Menyiang Daging". Maksudnya, kerbau atau lembu yang disembelih, akan disiang pada malam tersebut untuk memudahkan kerja esoknya. Tetapi ada juga yang mengambil masa selepas subuh untuk menyiang daging. Semuanya bergantung kepada tuan rumah.

Hari berikutnya akan menyaksikan acara kemuncak perkahwinan. Seawal 7 pagi, jiran tetangga, saudara mara telah hadir untuk membantu menyediakan makanan. Makanan di Air Molek dimasak seawal jam 7.00 pagi. Baik nasi, daging dan sebagainya. Justru itu rasanya sedap dan masih panas.
Seawal jam 11.00 pagi,  makanan telah boleh dihidangkan dan orang-orang yang bekerja telah mula menjamah juadah mereka. Jika dahulu kanak-kanak juga diberikan makan awal. Pinggan disusun di atas tikar mengkuang dan kanak-kanak akan beratur mengambil nasi. Namun budaya itu telah beransur hilang.

Unik juga dahulu, khemah dibina sendiri. Meja dipinjam dari jiran tetangga. Begitu juga dengan kawah, periuk belanga dan sebagainya. Di Air Molek ada sejenis adat yang dipanggil "menanam". Maksudnya jiran tetangga menyumbangkan beras, telur, gula dan sebagainya. Pemberian tersebut akan dicatatkan untuk nanti dibayar kembali. Begitu juga dengan pemberian wang. Setiap pemberian akan dicatat untuk dibayar kemudian.

Majlis akan berakhir selepas berarak. Selepas berarak, kerja-kerja mengemas akan dilakukan oleh sanak saudara.

LOKASI PUPULAR DI KAMPUNG

Barang kali ada yang tidak perasan dengan beberapa lokasi yang popular di kampong kita ataupun lokasi itu berubah fungsi dan rupa. Dahulunya, zaman remaja saya beberapa nama tempat menjadi aagak popular bagi kami.
Antara yang terkenal adalah benteng Sajak. Nama itu wujud dari nama tuan punya tanah tersebut. Datuk Sajak. Lokasinya berhampiran rumah aruah Khatib Leman. Airnya dalam dan dasarnya berpasir. Swimming Pool alam semula jadi. Cuba Tanya pada Saudara Mat Jati atau Saudara Hashim Saad. Betapa nyamannya berenang kat situ…
Selain benteng sajak, kami biasa mendengar Sawaeh Tahi Ayam, Tambak. Saya kurang pasti lokasi tempat ini. Kena Tanya mereka yang menetap lama di kampong. Kedua-duanya membawa peranan dalam sejarah kampong kita.
Yang sempat saya ketemu adalah kelapa sebatang. Memang ada sebatang kelapa yang tumbuh di tengah-tengah sawah waktu itu. Lokasinya mengarah ke Manlok, kalau tak silap. Selain kelapa sebatang, Hujung Tanjung, satu lagi tempat popular tetapi misterius. Terletak di belakang rumah Pakcik Kadir dan Pak Long Meon. Dulu kami agak seram melalui kawasan ini.
Panggung. Jangan sangka panggung wayang tetapi yang saya maksudkan adalah jambatan panjang yang merentangi sawah dari rumah En Baharudin sekarang ini hingga ke seberang. Diperbuat dari kayu. Tingginya lebih kurang dua kali dan lebarnya lebih kurang 5 atau 6 kaki. Ada perigi di situ dahulu. Rasanya masih ada hingga sekarang. Selain itu, ada juga sebuah surau yang dikenali dengan nama Surau Haji Khamis- bapa kepada Pak Lang Aim, pemilik bas sekolah yang mengangkut pelajar ke SMK Rahmat.
Padang Kilat telah lama ada. Dari zaman awal remaja saya lagi. Padang yang melahirkan ramai anak-anak kampong yang berminat dengan bola. Terletak di atas sedikit rumah Datuk Tambichik. Ada kubur lama juga berhampiran Padang Kilat. Dari dulu lagi menjadi tumpuan anak-anak muda bermain bole hingga mengharumkan nama kampong.
Benteng Paya- juga tempat berenang anak-anak kampong. Lokasinya di hadapan rumah Pak Lang Minhat. Ada juga padang di situ tetapi kemudiannya menjadi kebun. Selain padang kilat, ada juga padang di hadapan surau Haji Md Jai di hilir. Tiang golnya sama ada buluh atau pelepah rembia.




Sunday 18 August 2013

PERGINYA DUA WARGA EMAS

Perginya dua warga emas di kampung secara berturut-turut. Bermula dengan pemergian Wan Jenab, ibu kepada Saudara Hashim. Diikuti dengan Wan Meram, mertua kepada pakcik Tamin. Keduanya telah mencecah usia 90an. Semoga dicucuri rahmat ke atas roh mereka dan di tempatkan dikalangan mereka yang terpilih.

Beberapa orang lagi warga emas masih lagi ada. Kalau tak silap saya, Wan Embok, ibu kepada Pak Long Wahid, Wan Leha, ibu kepada busu kami. Moga Allah memberikan mereka kesihatan yang baik.

Sunday 31 March 2013

PERANG BENDERA...

Nampaknya Air Molek telah kembali menjadi medan perang bendera. Setakat sehari dua ini, yang banyak kelihatan bendera biru dan beberapa kerat bendera hijau. Papan tanda bilik gerakan juga telah mula dipasang. Satu bilik gerakan telah bertapak di Abang Ali di pintu masuk kampung milikapan r parti pemerintah. Satu lagi kelihatan di hadapan rumah Pakcik Bujang milik UPU. Tanda-tanda awal pilihanraya akan tiba tidak lama lagi.

Di sepanjang jalan dari Solok Seberang hingga ke Taman Rebana Jernih pula telah kelihatan deretan bendera. Walaupun sebatang dua telah hilang dari tempat di pasang. Barang kali ada yang berkenaan. Tahniah kepada mereka yang melaksanakan tugas untuk memeriahkan suasana pilihan raya.

Andaian saya, kampung kita yang kecil ini, sebenarnya stok undis elamat yang untuk Barisan Nasional. Terlalu banyak undi diberikan untuk memenangkan calon BN untuk DUN Kuala Linggi. Bukan sepenggal malah sejak berpenggal-penggal yang lalu. Air Molek tahu mengenang jasa pemerintah. Mengembalikan semula apa yang diberikan pemerintah dengan undi sebagai bayarannya.

Persoalannya, YB yang bakal memenangi kerusi DUN jangan terlupa pula tentang kampung yang kecil ini. Biarpun kecil, seribu dua undi untuk YB pasti ada dan pasti. Jadi lihat-lihatlah apa lagi yang memerlukan tambahan. Perlukan pembaikan. Contohnya PUSAT KOMPUTER yang tidak beroperasi. Operasikan semula. Menurut pengerusi JKKK, komputernya ada, sambungan internet tiada. YB kenalah tengok-tengokkan.

Seperkara lagi tentang selekoh dan jalan masuk ke Taman Rebana Jernih. Selekoh tersebut sudah menjadi terlalu bahaya dan mengelirukan. Perlu diubah menjadi simpang berbentuk T. Kemudahan padang tetap untuk anak-anak muda yang bakal menjadi pengundi. Perlu disegerakan. Padang di atas rumah Datuk Tambichik sudah terlalu KERAS.  Dapatkan padang yang tetap. Nampak macam ada tanah kosong di hadapan taman. Boleh tak kalau dicuba-cuba untuk kita memohon. Setakat yang terbaru, padang futsal dah dapat. Tak payahlah anak-anak muda kita bermain ditempat orang lagi.

Memang berlaku peubahan. Menafikan tidak pembangunan di Air Molek itu suatu perbuatan yang zalim. Melihatlah dengan mata hati bukan dengan hati yang kadang kala dicemari hasad. Cuma kadang kala kita agak terlewat menerimanya.Tahniah pada peneraju kampung yang berusaha mengubah wajah kampung.

Cuma yang sedikit menjengkelkan apabila kelibat warga Indonesia yang terlalu ramai di taman. Saban petang kelihatan wujud satu dunia kecil pendatang yang dengan izin atau  tanpa izin memenuhi penjuru taman. Dan terbaru ada yang tertangkap kerana terlibat dalam rompakan di Pengkalan Balak. Nama kampung disebut-sebut dalam akhbar.

Dalam mengejar kemodenan, pembangunan, kuasa dan sebagainya, berpijaklah di bumi yang nyata. Janganlah diulangi sejarah Sultan Mahmud. Janganlah wujudlah Raja Mendeliar, Kitul yang memporak perandakan masyarakat. Biarpun bermain di belakang tabir, kelibat dan gelagat anda akan tercium juga oleh perisik-perisik CIA, Mozard atau M16.

Fikir-fikirkan lah


Tuesday 26 March 2013

LAHAD DATU..... AIR MOLEK JUGA PUNYA PEJUANG NEGARA

Ramai yang memberikan tumpuan kepada isu di Lahad Datu. Memang jasa perwira negara harus diberikan sanjungan. Bukan sekadar Lahad Datu, kampung kita juga pernah menyaksikan kehilangan pahlawan negara pada zaman awal 70an dulu. Saat komunis bermaharaja lela.

Sayangnya, saya masih mencari info tentang siapa yang gugur dan dikebumikan di tanah perkuburan kampung kita dengan istiadat tentera. Tetapi memang ada anak kampung yang gugur dalam menyahut seruan pertiwi.

Selain gugur dalam pertempuran, ada juga anak kampung yang gugur sewaktu bertugas. Antara yang saya ingat aruah Md Som Putih- tragedi Karak. Beliau anggota FRU waktu itu. mSelain itu, anak pak cik Embong. Abang kepada Nazri Embong dan juga Ibrahim Latif. Mereka meninggal sewaktu bertugas akibat kemalangan.

Semoga roh mereka dicucuri rahmat

PERMAINAN DULU-DULU

Barangkali ramai yang tidak mengetahui terdapat pelbagai jenis permainan yang dimainkan oleh anak-anak awal remaja di Air Molek ini. Namun zaman yang beredar menjadikan permainan ini pupus atau bukan menjadi pilihan.

Seingat saya, antara permainan yang kerap dimainkan adalah konda kondi. Permainan ini umumnya dimainkan oleh masyarakat elmelayu di negara kita. Air Molek juga mempunyai permainan ini yang dimainkan sama seperti di tempat-tempat lain.

Selain konda kondi, baling getah, baling selipar, baling tin juga antara permainan yang kerap menjadi tumpuan dan kegemaran anak-anak awal remaja. Manalah nak cari angri bird. Yang ada ANGRY MOTHER, yang bising kerana anak-anak tak ada di rumah dan susah nak disuruh arah. Namun kelompok permainan terbahagi juga kepada dua bahagian, hulu dan hilir. Masing-masing mempunyai geng tersendiri.

Saya akan mencuba untuk mengupas setiap permainan pada entri akan datang. Selamat Menyambut Hari Polis.

Thursday 7 March 2013

Pencerobohan di Lahad Datu

Rasanaya, kedai kopi Datuk Murugan sedang heboh dengan tragedi yang berlaku di Sabah. Pelbagai perkara, rumusan, perspektif akan diutarakan. Bagaimana agaknya Wak Kassim mengulas isu ini. Dan bagaimana pula reaksi Ghani dan Kinit. Mesti seronok mendengar perkara ini diperbincangkan. Biarpun Air Molek jauh di sempadan Negeri Sembilan namun tidak pernah terlepas dari pelbagai isu negara.

Monday 18 February 2013

Masa Lapang di Air Molek

Air Molek. Bukan sesuatu yang menarik bagi orang luar. Namun bagi penghuni kampung kecil ini, Air Moleh adalah segala. Kebanyakan penduduk yang bekerja sebagai penoreh banyak menghabiskan masa lapang pada waktu petang di kedai kopi. Yang masih saya ingat beberapa buah kedai yang pernah wujud. Zaman saya kanak-kanak dulu, kedai Busu Cuwin (Ayah Mustafa Cuwin). Busu Cuwin telah lama menemui kekasih abadi. Begitu juga anak dara aruah, Fauziah. Kedai lainnya, kedai Busu Pesot, kedai santan berlada, kedai Kak Mera, kedai Long Munah (kini dikenali dengan nama kedai Yunus), Kedai Long Milah dan Mail Lacak (keduanya juga telah menemui kekasih abadi).

Yang masih tinggal kedai Busu Achim dan terbaru kedai Datuk Murugan... ha ha.... namapun buat kita gelak. Kedai Abang Sahal. Kat situlah mereka merehatkan minda, membaca akhbar, bertukar pendapat. Kadang kala bertekak, bergurau, usik mengusik sesama sendiri. Macam-macam ragam boleh dilihat.

Paling hangai  kalau Wak Kassim, Ghani Mat Sah ada sama. Riu dengan gelak. Wak Kassim, ikon kampung yang gemar bergurau. Isu paling hangat adalah nasi minyak kelapa bali, lemang durian. Saja nak membakar perasaan Ghani Mat Sah. Yalah Ghani bukan orang tak kenal. Lurus. Tapi rajin menolong sewaktu kenduri kawin. Ghani menjadi mangsa usikan Wak kassim dengan orang kanannya Dak Kinit.

Sesekali, anak kampung yang tinggal di luar singgah menjamu selera sambil bertanya khabar. Masih ada nak kampung yang sudi mencemar duli bercampur dengan orang kampung. Yang sedihnya segelintir dari anak kampung yang dah berada lama di luar, segan nak bertanya khabar.... takut kena belanja kot.....

Sunday 3 February 2013

RUMAH BESAR DI HUJUNG KAMPUNG

Ramai yang tidak mengetahui tentang kewujudan sebuah rumah besar di hujung kampung kita. Baru-baru ini saya sempat berbual dengan Busu Ambun. Masih sihat lagi beliau. Sempat juga bertanya tentang kewujudan sebuah rumah besar yang acap diceritakan. Kononya terdapat sebuah rumah besar di hujung kampung. Lokasinya berhampiran dengan benteng sajak. Rumah ini didiami oleh sekumpulan orang yang disebut oleh Busu Ambun sebagai orang baik-baik.

Beliau juga menceritakan tentang kehebatan orang-orang di rumah tersebut yang menangkap dan mengikat harimau menggunakan rotan. Saya sedang mencari maklumat tentang kesahihan cerita tersebut. Jika ada warga kampung yang mempunyai maklumat boleh emailkan kepada saya di akuanakmelaka65@gmail.com agar dapat dikongsikan bersama

Tuesday 22 January 2013

Pergi tak kembali

Warga emas di kampung semakin berkurangan. Seorang demi seorang menyahut seruan Ilahi. Kembali ke dunia abadi Kembali kepada kekasih sejati. Sebuah asam garam kehidupan. Bukan itu tajuk utama kali ini.  Fatihah buat mereka

Hari ini saya ingin mengenang kembali beberapa kehilangan yang harus kita tangisi. Kehilangan yang tak mungkin mendapat penggantinya. Cuba kita lihat suasana majlis perkahwinan sekarang tzini. Telah mula ada bunga-bunga sistem catering akan digunakan secara meluas. Majlis pakat sudah mula sirna jika ini berlaku. Anak muda tidak lagi menating dulang. Semuanya dilakukan oleh kumpulan kendarat. Memang memudahkan tapi ada juga cacat celanya. Harga yang perlu dibayar untuk sebuah kemudahan.


Monday 21 January 2013

Memoir Yang Sukar Terlupakan 1

Perjalanan menanjak usia remaja mengukir pelbagai kenangan terindah. Menyimpan ribuan memoir yang menjadi rakaman kekal di hati. Sesekali kembali dan melintasi beberapa lokasi, ingatan muncul bagai putaran filem.

Dari benteng sajak di seberang bawalah ke kolam bertaraf olimpik di paya. Berhampiran dengan rumah Pak Lang Minhat adalah lokasi anak kampung menguji bakat renang. Air yang jernih bertukar kelabu akibat lumpur yang naik dari dasar. Bau lumpur bukan masalah. Cuma masalahnya lepas mandi. Air lumpur akan melekat ditubuh meninggalkan warna dan bau yang sering mengantoikan tuan punya tubuh dihadapan mak ayah.........

Puas berenang, akan diteruskan pula dengan drama combat. Apa sahaja bentuk kayu yang menyerup senapang akan menjadi senjata. Sampai sengal bibir  akibat membunyikan bunyi senapang. Musih tak mati juga. Awal senja sudah berada di surau atuk Md Jai. Mengaji dan  solat maghrib. Berebut nak menjadi pemukul ketuk-ketuk.

Semua tu dah jadi kenangan terindah. Kini ramai rakan sebaya sudah berada di luar kampung mencari rezeki atau bermaustautin di mana mereka bekerja. Sesekali terjumpa, gaya sudah berubah. Ada yang buat-buat tak kenal. Yang kenalpun bertanya sepatah dua. Lepas tu senyap. kemesraan sudah sirna. Inilah kehidupan

Entri Pertama 2013

Menyusuri jalanan aspal di desa tercinta, teringat pelbagai kenangan lama yang kini mungkin tidak dialami oleh generasi baru. Generasi kini lebih mengenali tablet, netbook, facebook berbanding zaman kami dahulu. Internet belum ada atau popular itu. TV warna pula sebiji-sebiji. Yang banyak TV dwi-warna.
Zaman kegemilangan takraw dahulu membariskan ramai pemain bertaraf pro. Antaranya Ahmad Saad, pernah bermain untuk negeri  Melaka kalau tak silap.Balai raya menjadi pusat pertemuan remaja zaman itu. Kedai Risdapun baru nak dibuat. Elektrik baru nak masuk. Barulah terang benderang kampung.