Saturday 19 April 2014

Kekejaman Komunis-Perkara yang generasi baru harus tahu

Darurat yang melanda negara kita bermula 1948 hingga tahun 60an membawa pelbagai kenangan buruk buat negara. Air Molek juga tidak terlepas dari bahana kekejaman komunis. Antara yang tinggal adalah MANLOK. Satu petempatan semula masyarakat Cina sewaktu zaman komunis. Di sini saya perturunkan sedikit kisah kekejaman komunis....


Tragedi yang berlaku merupakan serangan hendap paling ngeri berlaku ketika operasi di hutan Jelondong, Jelebu. Kejadian yang berlaku pada 16 April 1951 di hutan tersebut, jelas mempamerkan sikap kejam, keperongosan dan kebiadapan keterlaluan militan komunis cina terhadap mayat 7 orang Askar Melayu, selepas mereka semua dibunuh. Mangsa yang terkorban dicincang lumat, sehingga tidak dapat dikenalpasti identiti mereka, hinggakan kesemuanya terpaksa dikebumikan di tempat kejadian. Hanya sekitar 1980an, barulah kubur kesemua mangsa dipindahkan ke makam pahlawan Askar Melayu, Port Dickson.

Menerusi buku "Askar Melayu 50 Tahun", Tan Sri Abdul Samad Idris cuba menggambarkan peristiwa yang berlaku di hutan Jelondong ketika itu;

"...Apabila sampai di sebatang anak sungai, tersepit antara dua bukit, Perajurit Yunus nampak kesan-kesan beras hanyut di dalam air. Ini menunjukkan ada orang bertanak nasi telah membasuh beras di situ. Beliau segera melaporkan perkara itu kepada Leftenan Nayan.

Bagaimanapun Leftenan Nayan mengarahkan 'leading scout' itu mara ke hadapan sedikit. Sebaik saja Perajurit Yunus maju ke hadapan, kira-kira 100 orang pengganas komunis telah melepaskan tembakan. Mereka menggunakan kabain, telah mengepung kedudukan Askar Melayu. Disebabkan musuh terlalu ramai, keadaan menjadi kelam kabut. Leftenan Nayan mengambil keputusan berundur sahaja, tetapi tidak dapat mengumpulkan orang-orangnya secara serentak.

Kira-kira jam 5 petang, Leftenan Nayan berjaya melepaskan diri ke sebelah hilir Kampung Seperi bersama Perajurit Umar yang cedera terkena tembakan pada bahagian punggungnya. Perajurit 5087 Yusuff yang sedang bercuti, terkejut dengan peristiwa yang menimpa rakan platunnya, telah meminta orang-orang kampung di situ memberikan pertolongan. Tuan Haji Shamsuri (ayah kepada Perajurit Yusuff) telah memberikan kain sarung untuk mengusung Perajurit Umar untuk dibawa ke kampung.

Sehingga jam 8.30 malam, 2 orang lagi perajurit berjaya keluar ke kampung menyeberang sawah sampai ke kawasan sekolah di sebelah hulu kampung. Mereka terpaksa bersembunyi di hutan sebelum lari keluar kerana telah diekori oleh komunis. Apabila sampai di kampung, kedudukan mereka selamat (*ini merupakan bukti bahawa penduduk-penduduk di Jelondong tidak pernah bersubahat dengan komunis sebagaimana yang didakwa oleh komunis cina).

Tiga hari kemudian, 2 orang lagi Askar Melayu dapat keluar ke Pekan Titi dalam keadaan cedera. Mereka yang terselamat daripada serangan hendap telah bertempiaran menyelamatkan diri masing-masing. Setelah tiga hari berlalu, barulah diketahui bahawa 10 daripada 17 orang pasukan platun itu telah terselamat, walaupun sebahagian besarnya mengalami kecederaan.

Seminggu kemudian, usaha mencari mereka yang terkorban dimulakan dengan bantuan gerison di Port Dickson. Mayat Askar Melayu seramai 7 orang itu ditemui jauh dari tempat kejadian. Sama ada mereka diheret ke situ oleh komunis, atau ditemui pihak pengganas sewaktu mahu melarikan diri seperti kawan-kawannya yang lain, tidaklah diketahui.

Keadaan mayat yang ditemui itu sangatlah mengerikan. Anggota badannya dipotong pendek atau boleh dikatakan dicincang. Kemaluannya disumbatkan ke dalam mulut; biji mata dicungkil, kulit kepalanya dikoyakkan hingga terdedah tengkorak. Demikianlah kejamnnya komunis dalam kejadian di Hutan Jelondong, Jelebu pada 16 April 1951 itu."

Kekejaman komunis ke atas mangsanya di hutan Jelondong adalah peristiwa pertama seumpamanya berlaku dalam sejarah darurat di negara ini. Justeru Negeri Sembilan ketika itu diwartakan sebagai negeri yang terdedah kepada ancaman komunis paling ganas di zaman darurat. Berikut merupakan senarai mangsa kekejaman serangan hendap komunis di hutan Jelondong:-

1. Koperal 2018 Abdul Hamid (signaller)
2. Perajurit 4576 Ali bin Talib
3. Perajurit 4676 Don bin Dahan
4. Perajurit 4573 Ismail bin Yusuff
5. Perajurit 3711 Mahmud bin Muhammad
6. Perajurit 5487 Abdul Hamid
7. Perajurit 3247 Ahmad bin Kudus

Semoga roh kesemua Askar Melayu yang menjadi mangsa kekejaman komunis, ditempatkan dikalangan orang-orang yang beroleh rahmat Allah swt. Al-Fatihah.

Kawasan serangan ini masih wujud lagi. Anda boleh melihat kawasan ini di Pusat Penyelidikan Ikan Air Tawar, Glami Lemi, Jelebu.

Selain hutan Jelondong, komunis turut melakukan kekejaman terhadap anggota polis sekitar dekad 1950an di jalan berliku Bukit Tangga, Jelebu. Serangan hendap komunis ke atas kenderaan black maria polis di Bukit Tangga telah menjadi bukti kekejaman komunis apabila kesemua 13 anggota polis itu di bakar hidup-hidup. Mangsa kekejaman itu sebelumnya ditawan serta diikat secara tergantung dengan kaki di atas dan kepala ke bawah. 13 anggota polis tersebut kemudiannya dibakar dengan api yang dinyalakan di bawah tempat penggantungan dengan tujuan menyeksa mangsa sebelum kesemua mereka hangus dijilat api.
Satu lagi kisah kekejaman komunis di Perak

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my

LENGGONG, GRIK dan isu komunis - satu kaitan fakta sejarah yang kekal dalam ingatan dan menjadi igauan masyarakat yang menyaksikan puluhan ribu anggota keselamatan terkorban mempertahankan negara dengan pelbagai peristiwa kekejaman komunis.

Kawasan itu yang dulunya dikelilingi hutan belantara dan banjaran di situ diakui kawasan hitam kerana menjadi laluan komunis menghubungkan utara ke Pantai Timur serta bersempadan dengan Thailand.

Ketika banyak pihak berbicara mengenai soal kemasukan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng, sewajarnya generasi muda yang ada insaf dan sedar bahawa bantahan suara rakyat menghalang kemasukan ketua komunis itu berasas, bukan sekadar gimik politik.

Di Lenggong saja sudah banyak peristiwa berdarah berlaku, pembunuhan anggota keselamatan dan penduduk yang enggan bekerjasama. Bahkan, lebih 100 bekas Konstabel Khas (SC) di Perak berhasrat membuat perarakan bantahan besar-besaran jika hasrat membawa pulang Chin Peng diteruskan. Pendirian itu memang tepat pada masanya, kerana mereka yang bersabung nyawa mempertahankan negara dan jika hasrat itu diteruskan, ibarat luka lama berdarah kembali.

Di perkampungan kecil Changkat Berangan, kira-kira 15 kilometer dari pekan Lenggong, tinggalan kesan aktiviti dan kekejaman komunis masih jelas kelihatan. Cuma, ia tidak dipelihara dan terjaga yang memungkinkan dua persoalan mengenai kedudukannya sekarang.


Demonstrasi membantah kekejaman komunis.

Pertama, kemungkinan penduduk langsung tidak mahu mengingati kekejaman komunis, keduanya memang tiada sebarang usaha mana-mana pihak mahu memelihara tinggalan sejarah itu sebagai tatapan generasi muda untuk menyedarkan pentingnya hidup dalam keadaan aman.

Antara secebis tragedi berdarah yang berlaku di situ ialah Peristiwa Bechah Kemahang yang berlaku di Changkat Berangan, Lenggong pada 1952, ketika era komunis mengganas memuncak. Kesan tempat kejadian dan sarang komunis masih jelas kelihatan.

Pondok estet tempat komunis menggantung hingga mati tiga penduduk ada, cuma gua tempat persembunyian mereka yang digunakan untuk mengurung lebih 20 penumpang bas agak tersorok di hutan di banjaran Bintang Hijau.

Pada tahun yang sama juga berlaku nahas udara sebuah pesawat penyerang dan pengebom British, Bristol Brigand PH755 yang terhempas ketika operasi mengebom sarang komunis di kawasan berkenaan menyebabkan tiga krew pesawat terbunuh.


Tinjauan Berita Minggu mendapati, semua kesan tinggalan sejarah penentangan komunis itu masih ada, cuma tidak dijaga, dibiarkan bahan sejarah dimamah usia dan berkemungkinan hilang terus pada pandangan mata dalam tempoh 20 tahun akan datang.

Menyingkap ringkas Peristiwa Bechah Kemahang, Ketua Kampung Changkat Berangan, Hassan Shahriman Sulaiman, 68, berkata peristiwa bersejarah itu patut didedahkan kepada masyarakat umum, apatah lagi ketika ini muncul pihak tertentu yang seakan menyebelahi perjuangan komunis.

Peristiwa itu merujuk kepada serangan komunis ke atas sebuah bas awam ulang alik dari Taiping ke Grik yang digelar penduduk sebagai Mail Car kerana sering membawa bungkusan pos dan penumpang pada 1952. Ketika tiba di Bechah Kemahang, semua 30 penumpang diarahkan turun kerana komunis mengesyaki bas itu membawa anggota risik. Selepas menggeledah dan menyoal siasat, komunis tidak menemui individu dikehendaki menyebabkan mereka bertindak ganas.

Berdasarkan cerita lisan daripada datuk saya, Osman Mat Piah, komunis menggantung sampai mati seorang wanita Cina dan dua wanita Melayu di pondok estet di tepi jalan. Penumpang lain dibawa ke gua di Bintang Hijau dan dikurung.

Mereka mencabar penduduk, jika mahukan tebusan hidup datanglah selamatkan. Ketika itulah muncul tujuh bersaudara terdiri daripada pasukan Homeguard tempatan bangkit menyerang kubu berkenaan dan menyelamatkan tebusan, katanya.

Homeguard tujuh bersaudara itu terdiri daripada Osman Mat Piah bersama dua beradik, Hussien dan Yaakob disertai tiga lagi anak Yaakob iaitu Mior Ahmad, Mior Kassim dan Mior Ariffin serta menantunya, Sulaiman Pandak Yusoff.

Bersenjatakan senapang patah dibekalkan kepada pasukan kawalan kampung, tujuh bersaudara itu berjaya menyelamatkan tebusan selepas berlaku pertempuran selama tiga hari menyebabkan semua 30 komunis terbunuh.

Polis yang menerima maklumat pertempuran menghantar pasukan diketuai pegawai British membantu menyerang komunis. Bagaimanapun, rasa terkilan wujud di kalangan penduduk kerana sumbangan tujuh bersaudara itu langsung tidak dicatatkan dalam sejarah.

Perkara ini perlu didedahkan, semua orang lama yang tahu cerita ini sudah meninggal dunia. Ketika sambutan ulang tahun kemerdekaan ke-50, penduduk kampung dengan kerjasama Askar Wataniah pernah melakonkan semula adegan pertempuran ini di padang Lenggong.

Memang kami ada perancangan menjadikan kawasan ini sebagai lokasi sejarah, tetapi kami perlukan bantuan untuk menjadikan hasrat ini satu kenyataan. Jangan biarkan sejarah hilang ditelan zaman, katanya.


Kekejaman Komunis di Gua Musang

Sejarah Serangan Komunis Di Gua Musang

Sebelum negara mencatat sejarah kemerdekaan 31 Ogos 1957, pelbagai rintangan dan cabaran getir dihadapi rakyat ketika itu kerana berdepan dengan keganasan komunis hingga ada yang mati dibunuh dengan kejam.
Kebanyakan mereka juga tidak boleh tinggal setempat dan kerap berpindah dari satu tempat ke tempat lain untuk mencari perlindungan dengan berjalan kaki dalam hutan berikutan tidak tahan dengan serangan komunis.
Sejarah hitam serangan komunis juga pernah berlaku di Gua Musang pada 4 Januari 1943, apabila ramai orang Melayu ketika itu mati dibunuh dan hanya seorang pengawal, Allahyarham Nik Jaafar Nik Soh yang berjaya melepaskan diri dari kepungan komunis.

Beliau lari seorang diri untuk meminta perlindungan di Balai Polis Bertam kerana kebanyakan rumah penduduk termasuk kuarters kereta api dan balai polis di Gua Musang dibakar komunis yang mengganas dan merosakkan semua harta benda penduduk.

Berpandukan perjalanan hidup ditulis penggawa terbabit, yang masih disimpan seorang anaknya, adik perempuannya sendiri yang sarat mengandung lapan bulan adalah antara 26 orang Melayu yang dibunuh dalam serangan komunis itu.
Kubur arwah Nik Mah Nik Soh yang mati dibunuh dengan kejam oleh komunis, masih menjadi kenangan sejarah kerana kini berada di tengah-tengah Masjid Razaleigh di bandar ini dan mungkin ramai yang tidak tahu mengenainya.
Hanya jenazah arwah seorang yang sempat ditanam di kawasan masjid tersebut dalam keadaan darurat berikutan kumpulan komunis terus menyerang kawasan Gua Musang yang mana kebanyakan penduduk sudah lari untuk berlindung di Kampung Batu Papan.
Allahyarham Nik Mah yang tidak sempat melarikan diri kerana sarat mengandung, hanya melindung diri dalam longkang besar jalan menghala ke masjid sebelum sekumpulan komunis ternampak lalu menembak hingga mati.
Pembunuhan kejam itu menyebabkan jenazahnya tidak boleh dibawa keluar dari kawasan Gua Musang untuk dikebumikan kerana sentiasa dikawal komunis dan jenazahnya pada ketika itu sempat ditanam di tepi tangga belakang masjid tersebut.
Oleh kerana masjid itu diubah suai dan dibesarkan, berikutan jemaah bertambah ramai menyebabkan kubur Allahyarham Nik Mah berada di tengah-tengah masjid hadapan mimbar hingga timbul tanya tanda kebanyakan jemaah yang datang dari luar daerah ini.
Walaupun Gua Musang telah lama wujud, tetapi bilangan penduduk Orang Melayu tidak ramai dan tumpuan utama komunis berkampung di Kampung Pulai yang selalu memeras ugut orang Melayu termasuk makanan.
Pendapatan utama penduduk ketika itu, hanya mengharapkan kepada hasil tanaman dan kerap meminta bantuan kerajaan menerusi pejabat daerah yang terletak di Kuala Krai.
Selain itu, berlaku juga pertempuran hendap antara askar 3RAMD dengan komunis di Sungai Semor dekat Kampung Pulai tahun 1948 yang meragut 16 nyawa anggota tentera dan mencederakan seorang pegawai berpangkat Leftenan Muda.
Seramai 29 orang Pasukan Komunis Malaya (PKM) turut maut sebelum keadaan di Sungai Semor kembali reda dan kini kawasan tersebut menjadi tempat kenangan serta kajian sejarah peperangan zaman darurat dahulu.
Bekas Pengerusi Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Cawangan Gua Musang, Abu Bakar Jusoh berkata, Gua Musang penuh dengan sejarah hitam berikutan berlaku peperangan menentang komunis yang harus bagi generasi baru menghargai perjuangan orang zaman dahulu.
Beliau berkata, mereka harus mengetahui sejarah asal wujudnya Gua Musang supaya tidak mudah menerima hasutan yang boleh berlaku kejadian tidak ingini dan menggadai maruah negara yang sekian lama dalam suasana aman.
“Saya sebagai bekas tentera, tidak pernah lupa peristiwa pahit menentang komunis walaupun ketika zaman itu bertugas di merata tempat sebelum menetap di Gua Musang,” katanya.
Mat Zain Hassan, 62, pula berkata, walaupun pejuang kemerdekaan negara menentang komunis semakin ramai dimamah usia dan meninggal dunia, tetapi kenangan pahit harus dipahatkan dalam jiwa generasi sekarang.
Katanya, semangat patriotik menyemarakkan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang perlu disemai di kalangan mereka kerana dengan cara itu dapat mengenang kesusahan walaupun mereka lahir selepas merdeka.
“Sekurang-kurangnya kita dapat mengingati kembali kesusahan tentera pada ketika itu yang menentang komunis dan ramai penduduk yang tidak berdosa menjadi mangsa pembunuhan kejam,” katanya


Buruh Paksa Landasan Keretapi Maut Thailand-Burma

Tempohari waktu pulang ke kampung sempat berbual dengan beberapa warga emas. Antara Busu Ambun di kedai Pak Long Sahal. Tercetus cerita tentang BURUH PAKSA yang digunakan untuk membina LANDASAN KERETAPI MAUT di Thailand-Burma.

Rupanya beberapa orang warga kampung kita juga terlibat menjadi buruh paksa. Dipujuk oleh orang-orang Jepun . Dijanjikan dengan janji yang muluk-muluk akhirnya hilang tanpa berita. Biarpun ada warga yang balik namun jumlahnya tidak ramai. Di sini saya perturunkan sedikit kisah buruh paksa landasan keretapi maut....

"Anda masih ingat dengan sejarah landasan keretapi berdarah?  Ya..sejarah dan kisah tragis ini berlaku sekitar tahun 1880-an dahulu iaitu kira-kira 130 tahun yang lalu.   Sepertimana yang diketahui, sepanjang tempoh pembinaan landasan ini, tiada yang lebih sukar melainkan kesengsaraan, keperitan dan penderitaan yang tiada penghujungnya. Tiada yang lebih berharga daripada nyawa melainkan membilang hari menanti ajal.  Itulah yang boleh diibaratkan kepada buruh-buruh paksa tersebut.


Mengikut catatan sejarah, selepas selesai penaklukan Jepun di Tanah Melayu dan Singapura pada Februari 1942, negara matahari terbit itu mula merencanakan pembinaan landasan keretapi sejauh 415 kilometer yang merangkumi 60 stesen dari Thailand ke Burma bagi meluaskan penaklukan rantau itu sehingga ke India.

Seramai 68,000 tahanan perang British, Australia, Amerika, New Zealand dan Belanda manakala 200,000 lagi buruh paksa India, China dan Melayu terlibat dalam pembinaan landasan maut itu. Sepanjang tempoh tiga tahun pembinaannya, seramai 16,000 tawanan perang maut dan lebih 100,000 buruh dari Asia itu dilaporkan meninggal dunia atau hilang. Sepanjang tempoh 1942 hingga 1946, sebanyak 72,000 rakyat negara ini menjadi buruh paksa, namun hanya kira-kira 30,000 orang sahaja selamat pulang.

Seterusnya, antara negara-negara Asia yang terlibat adalah datang dari Burma, Jawa, dan Tanah Melayu.  Kemudian, pada tahun 1942, Perang Dunia II telah berlaku dan kejatuhan Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia.  Kemudian pada tahun 1942, Perang Dunia II telah berlaku dan kejatuhan Tanah Melayu, Singapura dan Indonesia.

Oleh yang demikian, tahanan perang digunakan oleh pihak Jepun bagi merealisasikan impian mereka dalam mencapai kejayaan semasa zaman peperangan tersebut.  Tenaga dan kudrat telah dikerah sepenuhnya siang dan malam.

Fakta  :
Bilangan pekerja landasan keretapi maut  dari Asia  :  72,000
Selamat pulang  :  30,000
Selebihnya   :  Ditimpa penyakit, kebuluran atau dihukum hingga mati."
Buruh paksa bekerja di landasan maut dengan penyeliaan tentera jepun

Tanah Perkuburan yang barangkali menempatkan salah seorang warga Air Molek

Alat yang digunakan untuk memecah batu dan sebagainya

Salah satu dari puluhanjambatan yang dibina dengan menggunakan kudrat manusia

Landasan maut sekarang

Laluan yang dibina kini menjadi tumpuan waris dari pelbagai negara

Sekadar kenangan

Antara nama yang disebut tidak kembali termasuklah Ghani Mat Tera, adik kepada arwah Pak Long Saad (bapa saudara Hashim (norli) Saad) dan beberapa nama yang telah saya lupa). Mari kita hadiahkan Al-Fatihah kepada mereka yang telah kembali sewaktu membina landasan keretapi maut.

Thursday 3 April 2014

Korban Kelompok

Warga Rukun Tetangga Taman Rebana Jernih akan mengadakan "KORBAN BERKELOMPOK:" sempena Hari Raya Aidil Adha 2014. Setakat ya ng saya difahamkan, jumlah bilangan haiwan korban telah mencapai 4 ekor dengan harga RM 450 bagi setiap bahagian.
Bagi warga yang berminat boleh menghubungi Tn Hj Majid, Pengerusi Rukun Tetangga atau  Ustazah Rosnah Abdul Ghani, Setiausaha Rukun Tetangga Taman Rebana Jernih.


Seperkara lagi, Surau Taman Rebana  Jernih baru sahaja ditimpa musibah kehilangan PA System beberapa minggu lalu. Pihak taman memohon jika ada yang sudi mendermakan sebuah PA System, bolehlah berbuat demikian. Sila emailkan ke email saya Jebat65@gmail.com. Pihak penduduk taman amat mengharapkan sumbangan dalam usaha mengimarahkan semula surau taman Rebana Jernih. Setelah tinjaun dibuat, harga sebuah PA System biasa dalam lingkungan RM 500 ke RM 800.

Masjid Kampung Air Molek

Sewaktu melintasi jalan dari SK Air Jernih untuk kembali ke Taman Rebana, terpandang kubah masjid yang baru dibina. Kelihatah cantik, giah dan terasa keindahan sebuah masjid yang dulu berdiri atas titik peluh anak-anak kampong dan kini jasa mereka diteruskan oleh generasi baru.


Masjid yang diberi nafas baru kini akan menjadi landmark terbaru air molek. Lama sudah masjid tersebut berbakti kepada penduduk kampong. Dan kini akan terus berbakti atas wakaf pelbagai pihak. Anak kampongpun telah ramai memenuhkan masjid waktu-waktu kelas agama di adakan, solat jumaat malah pada setiap masa.


Sentuhan senibina dan hiasan amat menarik. Sayang, saya tak punya masa merakam gambar-gambar untuk diabadikan. Insyaallah akan saya usahakan untuk dijadikan arkib Kampung Air Molek.