Wednesday 25 March 2015

KENDURI DI MASJID AR RAFAI

Jumaat lalu ada kenduri di masjid kampong kita. Ada dermawan yang sedekah seekor lembu untuk di akikah kata Abang Musa Keling. Murah rezeki orang kampong. Khabarnya paginya ada gotong royong masak di masjid. Jemaah Solat Jumaat terus  menjamu selera selepas solat. Suatu yang baik dan proaktif.


Baguslah masjid dah dapat yang baru. Aktiviti tiap malampun berjalan lancar. Cuma sedikit masalah bumbung bocor. Itu sedang diusahakan pembaikannya. Nak Pelik apa kalau bocor. Kerja manusia tak sama sama kerja Allah Taala. Stadium boleh runtuh. Berbual dengan Abg Musa  Keling, beliau menyatakan pembaikan sedang dilakukan. Alhamdulillah.

SUNGAI LINGGI BUKAN SEKADAR UDANG TETAPI LOKASI PELANCONGAN

Beberapa minggu lepas waktu hendak ke sekolah di Jelebu, melintasi kampong Paya Lebar terlihat deretan 3 buah lori membawa bot khas untuk pelancong. Tertera di dinding nama Koperasi Paya Lebar. Bot yang sama pernah saya lihat sebuah di jeti nelayan kampong Paya Lebar. Rupanya, mereka hendak menjadikan Sungai Linggi sebagai pusat pelancong dengan menggunakan bot. Khabarnya bot akan bergerak sepanjang Sungai Linggi menyaksikan keindahan sungai, pohon bakau dan hidupan di sana.


Nampaknya air Molek perlu mencari cara untuk berkongsi keuntungan dengan Paya Lebar. Tempohari saya ke pinggir Sungai Linggi berdekatan Kilang Ayam Sin Mah di Bukit Beruang.  Terdapat seorang penduduk taman rebana membuat jeti sendiri di situ untuk kegunaan pemancing. Bagaimana jika anak-anak kampong berpakat mendirikan jeti memancing dan kenakan sedikit bayaran, sambil tu buat kedai minuman untuk pemancing, jual umpan dan sebagainya. Hujung minggu ramai yang singgah di jeti. terdiri dari pemancing luar di sana. Pakat-pakatlah dengan Paya Lebar minta bot singgah di jeti untuk minum. Boleh jual cenderamata. Apapun ini sekadar lontaran idea.

Haruan dan Puyu Menjadi Punca Rezeki

Siapa kata duduk di kampong payah mendapat rezeki. Usaha jitu sahaja yang mampu membuat seseorang menjadi cekal. Dulu orang kampong kita mencari puyu dan haruan untuk makan sendiri. Atau disedekah kepada jiran jika berlebihan.


Tapi sekarang ini ini sekilo haruan dijual pada harga RM 18-RM20. Begitu juga dengan puyu. Cuma bekalan sahaja kurang. Khabarnya haruan digunakan untuk mereka yang lepas operation. Puyu pula sama ada dibela ataupun dijadikan santapan.


Jadi yang beminat mendapatkan ikan-ikan ini, carilah Pak Aim atau Abang Kelam. Ada juga menyimpan stok kilo dua. Ikan-ikan air tawar ni telah menjadi rebutan bagi penggemarnya. Dimasak lemak dengan cili api. Dibuat acar. Malah ada yang menyimpan stok untuk kenduri. Berebutlah tetamu yang hadir......

PERMASALAHAN TANAH DI AIR MOLEK

Kerap juga terdengar bualan di kampong tentang pemilikan Tanah di kampong kita. Terlalu rumit untuk diselesaikan. Sebidang tanah kecil hendak dibahagikan kepada 16 penuntut. Sebidang Tanah yang telah dijual secara lisan akhirnya dituntut oleh pemilik sebenar biasanya anak kepada penjual yang tidak tahu menahu tentang penjualan. Maka berlakulah perang dingin. Semua ini menjadi kusut masai.


Pandangan saya, eloklah jika perkara tersebut dibawa ke pejabat Tanah untuk pengagihan menurut faraid dan hanya melibatkan pemilik yang benar-benar mempunyai hak. Bukan sedikit kerja yang hendak dibuat sebenarnya tetapi harus dilakukan.


Warga kampong kita semakin dahagakan Tanah. Apabila anak berkahwin mahukan tapak rumah maka akan wujudlah masalah. Bertemulah dengan Tuk Sidang untuk minta pandangan dan merujuklah kepada Pejabat Tanah untuk maklumat yang lebih tepat.