Tuesday, 10 September 2013

UNIKNYA KENDURI KAHWIN DI AIR MOLEK

Ramai yang memuji masakan yang enak oleh tukang masak di Air Molek. Ramai yang tidak mengetahui bahawa di kampung kita ini terdapat sedikit perbezaan dalam urusan kenduri kahwinnya. Jika dahulu, sebelum majlis berlangsung akan didahului dengan satu majlis yang dipanggil PAKAT. Pakat bermaksud satu majlis perbincangan antara tuan rumah dan penduduk kampung tentang perjalanan majlis. Biasanya diketuai oleh Sidang. Dalam majlis ini akan ditentukan siapakah yang akan menjadi ketua tukang masak bagi lelaki dan perempuan. Masa menyiang daging dan sebagainya. Apabila ini telah dipersetujui, tuan rumah akan menyediakan segala yang diperlukan.

Majlis perkahwinan dahulunya berlangsung dua hari. Jika bermula hari Sabtu, akan dipanggil "Petang Meletak Kerja". Biasanya persediaan untuk hari langsung akan dilakukan pada hari ini.Dan diikuti dengan jamuan makan. Makanannya pula terpulang kepada tuan rumah sama ada mahu menghidangkan gulai ayam mahupun makanan eksotik lainnya seperti gulai cempedak atau nangka, cendawan kukur. Persediaan untuk jamuan pada sebelah malam yang dipanggil malam berinai juga akan dilakukan. Makanan seperti bubur kacang, bubur pulut hitam, mee hoon akan disediakan.

Malam Berinai atau malam berarak akan bermula selepas Isyak. Malam tersebut menyaksikan persandingan pengantin, bunga api dan berinai. Bunga apinya pula adalah bunga api Melaka. Yang diperbuat dari buluh. Tempat tempahannya di Tanjung Bidara.. Anak-anak muda akan berebut-rebut mengambil peluang menyalakan bunga api. Waktu itu lampu gaslin memainkan peranan penting. Menerangi pengantin dan kawasan majlis perkahwinan.

Ada juga sesetengah tuan rumah yang mengadakan majlis "Menyiang Daging". Maksudnya, kerbau atau lembu yang disembelih, akan disiang pada malam tersebut untuk memudahkan kerja esoknya. Tetapi ada juga yang mengambil masa selepas subuh untuk menyiang daging. Semuanya bergantung kepada tuan rumah.

Hari berikutnya akan menyaksikan acara kemuncak perkahwinan. Seawal 7 pagi, jiran tetangga, saudara mara telah hadir untuk membantu menyediakan makanan. Makanan di Air Molek dimasak seawal jam 7.00 pagi. Baik nasi, daging dan sebagainya. Justru itu rasanya sedap dan masih panas.
Seawal jam 11.00 pagi,  makanan telah boleh dihidangkan dan orang-orang yang bekerja telah mula menjamah juadah mereka. Jika dahulu kanak-kanak juga diberikan makan awal. Pinggan disusun di atas tikar mengkuang dan kanak-kanak akan beratur mengambil nasi. Namun budaya itu telah beransur hilang.

Unik juga dahulu, khemah dibina sendiri. Meja dipinjam dari jiran tetangga. Begitu juga dengan kawah, periuk belanga dan sebagainya. Di Air Molek ada sejenis adat yang dipanggil "menanam". Maksudnya jiran tetangga menyumbangkan beras, telur, gula dan sebagainya. Pemberian tersebut akan dicatatkan untuk nanti dibayar kembali. Begitu juga dengan pemberian wang. Setiap pemberian akan dicatat untuk dibayar kemudian.

Majlis akan berakhir selepas berarak. Selepas berarak, kerja-kerja mengemas akan dilakukan oleh sanak saudara.

No comments:

Post a Comment