Salam teman sekampung,
Kadang-kadang mati juga idea untuk menulis tetapi dah namanya cikgu ni, membaca dan menulis dah menjadi asam garam kehidupan. Tak idea, perah juga agar dapat menulis sesuatu sebagai bahan perkongsian dan bahan arkib untuk sebuah desa kelahiran yang banyak meninggalkan kenangan pahit dan manis. Di desa ini, segalanya bermula. Di desa ini kasih tercipta dan rindu membara.
Membaca catatan rakan-rakan dalam Facebook, dapat saya katakan kadar celik IT di kalangan anak-anak kampung begitu tinggi biarpun kebanyakan datang dari luar kampung. Yang berada di kampung bukan tak celik tapi kurang kemudahan. Saya tak pasti fenomena di Melaka. Tetapi di tempat atau daerah saya bekerja di Negeri Sembilan, rata-rata kampung mempunyai kemudahan Wifi percuma dengan label "Kampung Tanpa Wayar". Anak-anak desa boleh melayari internet pada bila-bila masa yang dikehendaki. Secara percuma.
Di kampung kita, saya tidak pati sudah ada atau tidak kemudahan ini. Saya merasakan ini perlu memandangkan zaman dah berubah. Nak minta kerjapun kena online. Saya mencadangkan pada rakan-rakan yang mempunyai kuasa dan masin mulutnya di kampung, minta-mintalah pada YB agar kemudahan ini diwujudkan. Dapatlah orang-orang kampung kita merasa nikmat menyokong kerajaan. Jangan waktu mengundi sahaja kita diingati. Selepas mengundi, buat tak reti. Tapi yang saya dengar YB sering berkunjung ke kampung. Eloklah. Cuma bisik-bisikkan juga agar kemudahan ini diadakan. Biar kita tidak ketinggalan.
Saya terbaca rancangan kerajaan untuk mewujudkan Kampung Tanpa Wayar di Melaka. Jadi yang berkepentingan di kampung ambillah peluang ini.
Sedutan dari Utusan Online
ALOR GAJAH 13 April - Kerajaan negeri akan memastikan seluruh kampung di setiap kawasan Parlimen di negeri ini akan menikmati kemudahan jalur lebar menerusi projek Kampung Tanpa Wayar (KTW) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, sehingga ini sebanyak 120 buah lokasi KTW telah disediakan untuk memberi kemudahan kepada pelajar dan penduduk untuk menggunakan teknologi jalur lebar.
Menurutnya, kerajaan negeri mensasarkan sebanyak 20 lagi lokasi yang akan diwujudkan KTW bagi memastikan seluruh penduduk khususnya di luar bandar dapat menikmati kemudahan jalur lebar tanpa perlu ke bandar.
"Saya harap KTW yang diwujudkan di Pusat Jalur Lebar Komuniti akan dapat memberi manfaat kepada penduduk setempat dan menambah minat mereka kepada internet dan merubah cara hidup ke arah era teknologi ICT serta berpengetahuan tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan KTW di Pusat Jalur Lebar Komuniti, Kampung Sungai Tuang, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, di sini hari ini.
Turut hadir Ahli Parlimen, Datuk Abu Seman Yusop; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi, Datuk Ismail Othman; ADUN Taboh Naning, Datuk Latipah Omar dan Pemangku Pengarah SKMM Wilayah Selatan, Mohamed Faiezal Othman.
Menurut Mohd. Ali berkata, enam lokasi KTW baru yang akan diwujudkan adalah di daerah Jasin.
Menurutnya, pengguna yang mendaftar dapat melayari internet dengan menggunakan komputer riba milik sendiri dan kemudahan komputer yang disediakan di Pusat Jalur Lebar Komuniti.
"Dengan kelajuan muat turun sebanyak 384 kbps sudah memadai bagi pengguna melayari mana-mana laman web atau laman sosial seperti Facebook, MySpace, Twitter dan sebagainya," katanya.
Beliau berkata, penyelenggaraan infrastruktur KTW dibiayai sepenuhnya oleh SKMM melalui Dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) serta dana Tanggungjawab Sosial (CSR) SKMM.
Kos pembinaan katanya, dianggarkan di antara RM25,000 hingga RM32,000 bagi setiap tapak KTW.
No comments:
Post a Comment