Tuesday 10 September 2013

AKTIVITI ANAK KAMPUNG


Terdapat beberapa aktiviti yang popular waktu itu. Malah aktiviti tersebut menjadi rutin mereka. Antaranya Sepak takraw di Balai Raya. Ramai jaguh-jaguh di kampong kita rupanya. Antaranya En Ahmad Saad yang pernah bermain untuk negeri. Petang dihabiskan di Balai raya sama ada untuk bermain takraw kemudian waktu malamnya bermain badminton.

Selain aktiviti riadah, mencari ikan sawah juga popular di kampong. Antara yang mahir adalah aruah cikgu Ibrahim Said dan kini hobinya diteruskan oleh anak beliau Saudara Khalid. Serkap, jala, joran adalah alat penting sama seperti kayu golf orang-orang dibandar. Selain Cikgu Aim, antara yang mahir dalam mencari ikan sawah adalah aruah Pakcik Gamat, ayah saudara Rosli dan ramai lagi. Kini beberapa muka baru menjadi otai mencari ikan. Antara Bilal Ali atau Ali Iban. Kalau ke sungai, seingat saya antara pelopornya Pak Long Meon dan kini usahanya diteruskan oleh anak beliau, abang Ramli/Keram.

Madu atau gula. Masih lagi diteruskan oleh anak-anak kampong kita. Satu usaha yang berisiko tetapi lumayan. Harga kini menjangkau RM80.00 sebotol. Antara yang masih bergiat mencari madu lebah antaranya Bilal Ali, Pakcik Kidon dan beberapa orang lagi.

Kini penduduk Air Molek menghabiskan masa dengan berternak lembu, kambing dan kerbau.. Malah ada yang menjadi usahawan Berjaya.  Selain berternak, ada yang berniaga, membuka kedai minum, kedai runcit dan sebagainya.

UNIKNYA KENDURI KAHWIN DI AIR MOLEK

Ramai yang memuji masakan yang enak oleh tukang masak di Air Molek. Ramai yang tidak mengetahui bahawa di kampung kita ini terdapat sedikit perbezaan dalam urusan kenduri kahwinnya. Jika dahulu, sebelum majlis berlangsung akan didahului dengan satu majlis yang dipanggil PAKAT. Pakat bermaksud satu majlis perbincangan antara tuan rumah dan penduduk kampung tentang perjalanan majlis. Biasanya diketuai oleh Sidang. Dalam majlis ini akan ditentukan siapakah yang akan menjadi ketua tukang masak bagi lelaki dan perempuan. Masa menyiang daging dan sebagainya. Apabila ini telah dipersetujui, tuan rumah akan menyediakan segala yang diperlukan.

Majlis perkahwinan dahulunya berlangsung dua hari. Jika bermula hari Sabtu, akan dipanggil "Petang Meletak Kerja". Biasanya persediaan untuk hari langsung akan dilakukan pada hari ini.Dan diikuti dengan jamuan makan. Makanannya pula terpulang kepada tuan rumah sama ada mahu menghidangkan gulai ayam mahupun makanan eksotik lainnya seperti gulai cempedak atau nangka, cendawan kukur. Persediaan untuk jamuan pada sebelah malam yang dipanggil malam berinai juga akan dilakukan. Makanan seperti bubur kacang, bubur pulut hitam, mee hoon akan disediakan.

Malam Berinai atau malam berarak akan bermula selepas Isyak. Malam tersebut menyaksikan persandingan pengantin, bunga api dan berinai. Bunga apinya pula adalah bunga api Melaka. Yang diperbuat dari buluh. Tempat tempahannya di Tanjung Bidara.. Anak-anak muda akan berebut-rebut mengambil peluang menyalakan bunga api. Waktu itu lampu gaslin memainkan peranan penting. Menerangi pengantin dan kawasan majlis perkahwinan.

Ada juga sesetengah tuan rumah yang mengadakan majlis "Menyiang Daging". Maksudnya, kerbau atau lembu yang disembelih, akan disiang pada malam tersebut untuk memudahkan kerja esoknya. Tetapi ada juga yang mengambil masa selepas subuh untuk menyiang daging. Semuanya bergantung kepada tuan rumah.

Hari berikutnya akan menyaksikan acara kemuncak perkahwinan. Seawal 7 pagi, jiran tetangga, saudara mara telah hadir untuk membantu menyediakan makanan. Makanan di Air Molek dimasak seawal jam 7.00 pagi. Baik nasi, daging dan sebagainya. Justru itu rasanya sedap dan masih panas.
Seawal jam 11.00 pagi,  makanan telah boleh dihidangkan dan orang-orang yang bekerja telah mula menjamah juadah mereka. Jika dahulu kanak-kanak juga diberikan makan awal. Pinggan disusun di atas tikar mengkuang dan kanak-kanak akan beratur mengambil nasi. Namun budaya itu telah beransur hilang.

Unik juga dahulu, khemah dibina sendiri. Meja dipinjam dari jiran tetangga. Begitu juga dengan kawah, periuk belanga dan sebagainya. Di Air Molek ada sejenis adat yang dipanggil "menanam". Maksudnya jiran tetangga menyumbangkan beras, telur, gula dan sebagainya. Pemberian tersebut akan dicatatkan untuk nanti dibayar kembali. Begitu juga dengan pemberian wang. Setiap pemberian akan dicatat untuk dibayar kemudian.

Majlis akan berakhir selepas berarak. Selepas berarak, kerja-kerja mengemas akan dilakukan oleh sanak saudara.

LOKASI PUPULAR DI KAMPUNG

Barang kali ada yang tidak perasan dengan beberapa lokasi yang popular di kampong kita ataupun lokasi itu berubah fungsi dan rupa. Dahulunya, zaman remaja saya beberapa nama tempat menjadi aagak popular bagi kami.
Antara yang terkenal adalah benteng Sajak. Nama itu wujud dari nama tuan punya tanah tersebut. Datuk Sajak. Lokasinya berhampiran rumah aruah Khatib Leman. Airnya dalam dan dasarnya berpasir. Swimming Pool alam semula jadi. Cuba Tanya pada Saudara Mat Jati atau Saudara Hashim Saad. Betapa nyamannya berenang kat situ…
Selain benteng sajak, kami biasa mendengar Sawaeh Tahi Ayam, Tambak. Saya kurang pasti lokasi tempat ini. Kena Tanya mereka yang menetap lama di kampong. Kedua-duanya membawa peranan dalam sejarah kampong kita.
Yang sempat saya ketemu adalah kelapa sebatang. Memang ada sebatang kelapa yang tumbuh di tengah-tengah sawah waktu itu. Lokasinya mengarah ke Manlok, kalau tak silap. Selain kelapa sebatang, Hujung Tanjung, satu lagi tempat popular tetapi misterius. Terletak di belakang rumah Pakcik Kadir dan Pak Long Meon. Dulu kami agak seram melalui kawasan ini.
Panggung. Jangan sangka panggung wayang tetapi yang saya maksudkan adalah jambatan panjang yang merentangi sawah dari rumah En Baharudin sekarang ini hingga ke seberang. Diperbuat dari kayu. Tingginya lebih kurang dua kali dan lebarnya lebih kurang 5 atau 6 kaki. Ada perigi di situ dahulu. Rasanya masih ada hingga sekarang. Selain itu, ada juga sebuah surau yang dikenali dengan nama Surau Haji Khamis- bapa kepada Pak Lang Aim, pemilik bas sekolah yang mengangkut pelajar ke SMK Rahmat.
Padang Kilat telah lama ada. Dari zaman awal remaja saya lagi. Padang yang melahirkan ramai anak-anak kampong yang berminat dengan bola. Terletak di atas sedikit rumah Datuk Tambichik. Ada kubur lama juga berhampiran Padang Kilat. Dari dulu lagi menjadi tumpuan anak-anak muda bermain bole hingga mengharumkan nama kampong.
Benteng Paya- juga tempat berenang anak-anak kampong. Lokasinya di hadapan rumah Pak Lang Minhat. Ada juga padang di situ tetapi kemudiannya menjadi kebun. Selain padang kilat, ada juga padang di hadapan surau Haji Md Jai di hilir. Tiang golnya sama ada buluh atau pelepah rembia.