Thursday, 24 May 2012

BERITA TENTANG AIR MOLEK

Melaka & Negeri Sembilan: Gangguan lembu
Oleh Arifin Salleh

2010/08/11

KUALA SUNGAI BARU: Kira-kira 300 penduduk di kawasan perumahan Taman Rebana Jernih, Ayer Molek, di sini, melahirkan rasa tidak puas hati dengan masalah lembu peliharaan sentiasa berkeliaran di kawasan perumahan sejak sekian lama.

Mereka mendakwa sudah semakin hilang sabar, selain bosan mengeluh mengenai isu itu dan kini berharap satu jalan penyelesaian segera diambil, khususnya menerusi campur tangan pihak berkuasa terbabit.
Kalau dulu, kata mereka, bilangan haiwan ini boleh dihitung dengan jari tapi sekarang semakin bertambah sehingga sukar dikenal pasti jumlah sebenar. Peliknya, dakwa mereka lagi, pemilik lembu berkenaan seperti tidak makan saman.
Berita Harian membuat tinjauan ke kawasan berkenaan baru-baru ini selepas menerima aduan penduduk terbabit. Tinjauan dibuat dua kali termasuk pada hujung minggu lalu.

Tinjauan pertama pada kira-kira jam 4.30 pagi lebih seminggu lalu mendapati terdapat enam kumpulan lembu berkeliaran di taman ini. Setiap kumpulan mempunyai antara empat hingga lima ekor. Ada antaranya dikesan menyelongkar tong sampah di hadapan rumah penghuni taman.

Turut kelihatan timbunan najis bertaburan di atas jalan yang dilalui kumpulan haiwan ini, sekali gus dapat dibayangkan rasa tidak selesa penduduk apabila melihatnya pada waktu pagi terutama ketika hendak pergi kerja.

Ketika tinjauan sekali lagi dilakukan hujung minggu lalu, tidak banyak perubahan berlaku. Lembu masih banyak berkeliaran secara berkumpulan dan najis bertaburan di atas jalan. Bau busuk menusuk hidung.
Seorang penduduk, Ali Nasir, 58, ketika ditemui berkata, masalah ini sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan setakat ini tidak ada tindakan tegas diambil bagi menanganinya, termasuk oleh pihak berkuasa terbabit.

Beliau berkata, isu itu juga sudah banyak kali dibentangkan dalam mesyuarat jawatankuasa penduduk dan kemudian diajukan kepada pihak berkenaan untuk tindakan susulan, namun turut tidak berkesan.

Pemilik haiwan ini sepatutnya menternak lembu mereka ini dalam kawasan berpagar atau kandang, selain boleh mengikatnya pada pokok tanpa membiarkannya berkeliaran di dalam kawasan kediaman penduduk.

Ini tidak, haiwan ini dilepaskan bebas mencari makan sehingga masuk ke kawasan kediaman kami. Kita sudah beritahu pemiliknya, tapi mereka seperti tidak peduli. Jadi harapan kita supaya pihak berkuasa terbabit dapat membantu.

Dulu kita ada buat aduan termasuk menerusi media tapi tak ada kesan. Sekarang ini kita harap Berita Harian dapat membantu menyiarkan isu ini supaya pihak berkuasa berkenaan benar-benar dapat memahami masalah kami, katanya.

Ali yang juga Ahli Jawatankuasa Rukun Tetangga (KRT) taman itu, berkata, jika dulu kerajaan pernah mengarahkan semua anjing liar yang tidak berlesen ditembak, mungkin pendekatan sama dapat digunakan bagi lembu terbabit.

Ini sajalah jalan yang kami nampak untuk menyedarkan mereka terbabit berhubung masalah kami hadapi. Sekarang ini disebabkan lembu itu, taman kami seperti kawasan ladang ternakan apabila najis lembu boleh dilihat bersepah-sepah di halaman rumah dan jalan, katanya.

Seorang lagi Ahli Jawatankuasa KRT, Robini Sado, 40, ketika ditemui mengakui, longgokan najis lembu itu bukan saja memberi imej tidak baik kepada taman itu, malah mendatangkan bau busuk sehingga meloyakan tekak dan menyebabkan penyakit kulit.

Katanya, pihak berkuasa terbabit sewajarnya menangkap semua haiwan berkenaan dan hanya melepaskannya selepas pemiliknya datang membayar denda selain memberi amaran keras kepada mereka.

Apa yang membuatkan kita marah, selain meninggalkan najis di merata-rata tempat dan menyelongkar tong sampah, haiwan ini juga ada kalanya dilihat merosakkan sejumlah pokok hiasan yang ditanam pihak berkuasa tempatan di sekitar taman.

Sampai sekarang saya berasa hairan kenapa pemilik haiwan ini tidak mahu mengurungnya? Kalau hendak menternak lembu buatlah cara menternak, jangan menyusahkan orang lain sampai tahap begini, katanya.

No comments:

Post a Comment