Rasanya anak generasi Y sekarang ini tidak merasa keseronokan musim bersawah padi di kampung kita. Biarpun sawah tidak seluas bendang di Kedah dan Perlis namun keriangan orang-orang kampung menuai padi jelas terpancar pada wajah mereka. Musim inilah ramai yang pulang ke kampung untuk merasa beras baru.
Gambar Hiasan |
Dulu pada musim begini, akan kelihatan kerbau-kerbau menarik bajak atau sikat untuk menggemburkan tanah sebelum digantikan oleh jentera pembajak. Hanya segelintir sahaja yang mampu menggunakan mesin kubota. Namun keriangan jelas kelihatan. Di mana-mana kelihatan kerbau dengan tubuh berkilat menarik bajak.
Selesai membajak sawah akan kelihatan pula, deretan kaum ibu menggandar anak-anak padi untuk digunakan dalam proses "mengubah". Maksudnya anak padi yang disemai ditapak semaian akan dicabut dan dialihkan ke petak-petak sawah. Besar, kecil, tua, muda kelihatan saling bertolong bantu. Menjemur diri di tengah panas. Berehat sebentar sambil menjamah nasih putih berlaukkan ikan sawah yang digoreng berlada atau sambal kata orang kampung. Sambil berbincang strategi kehidupan.
Gambar Hiasan |
Batang-batang padi dibentuk menjadi serunai. Ditiup oleh kanak-kanak. Yang dewasa mencari sisa-sisa lopak air untuk meninjau jika ada ikan yang terkurung di lopak tersebut. Suatu masa dahulu juga, orang-orang kampung pernah memasang jaring untuk menangkap burung ayam-ayam. Tapi setelah diwartakan sebagai perbuatan yang salah aktiviti itu dihentikan. Batang-batang padi yang masih segar dibawa pulang untuk makanan kerbau yang ditambat.
No comments:
Post a Comment