Monday 12 January 2015

PENGANGKUTAN UTAMA

Awal 80 an. Masa tu pemilik motosikal boleh dikira dengan jari. Basikal adalah pengangkutan utama bagi kami remaja zaman itu. Basikal kecil, basikal besar yang berselirat dengan getah akan jadi alat memb biawa kami ke sana ke sini. Rosak? Tak ada hal punya. Pakcik Sani ada. Boleh bikin. Sehingga namanya dicantum menjadi Sani Bikin kerana kepakaran beliau mengolah semula bahan yang terbuang untuk diguna semula. Air Molek dah lama buat kitar semula.

Dari kampung ke Kuala, biasanya kami berbasikal. Tempat paling menyeksakan adalah kubur cina. Kata beberapa orang, ada yang disakat langsuir. Tapi dah lama tak dengar cerita langsuir. Dah bersara dan tak ada pengganti. Atau generasi sekarang lebih berani hinggakan langsuirpun tak berani nak muncul.

Saya ingat waktu sekolah dahulu kami berbasikal ke SMK Rahmat. Bila naik berdua, melintai Balai Polis Kuala kena turun seorang. Suatu kesalahan. Kalau aruah Konstabel Kalam ada alamat kena marahlah. Tapi kadang kala kami buat bodoh je. Polispun malas nak tegur. Dia orang tahu kami penat dan kelaparan.

Kini basikal muncul dengan pelbagai kecanggihan. Basikal Fixie, Mountain Bike dan sebagainya dah menjadi trend anak generasi ini dengan warna yang menarik. Zaman saya dulu, kalau cat pudar, sapu cat semula. Biar basikal nampak baru.

Dulu kes curi motor tiada tetapi kes curi spare part basikal yang berleluasa. Curi lampulah. Curi tayarlah.
Kalau ada kes curi basikalpun, curi basikal untuk dijual pada lori pembeli besi buruk

No comments:

Post a Comment