Saturday 2 June 2012

MENCARI HARGA DIRI

Setelah sekian lama merdeka, Air Molek merupakan sebuah desa yang damai dan cukup berdedikasi dalam menyokong kepimpinan kerajaan. Jarang kita dengar peti undi Air Molek kalah kepada pihak pembangkang. Seingat saya, belum pernah lagi. Pernah juga kampung kita ini didatangi oleh Tun Ghaffar Baba suatu masa dahulu. Tempatnya di Balai janga Raya kampung yang lama. Penuh dengan orang ramai yang ingin melihat allahyarham Tun Ghaffar Baba dari dekat.

Cuma setelah sekian lama Air Molek menjadi penyumbang undi yang setia, pihak-pihak yang mendapat keuntungan seharusnya sedar bahawa sesuatu perlu dilakukan oleh mereka kepada kampung yang sesetia ini. Saat orang lain berperang poster, Air Molek senyum dalam warna kebiruan. Saat orang haru biru dengan ceramah, Air Molek  tenang saja. Penduduknya boleh minum bersama di Kedai Long Mail di jalan masuk. Ini bermakna, parti tidak mampu merosakkan perpaduan.

Pada pandangan saya yang berada di luar kotak ini, terlalu jauh kampung kita ini tertinggal dari segi kemajuan. Pada hakikatnya kita ini seolah penyumbang undi untuk memajukan seseorang tetapi sering terlupakan. Memang ada pembangunan tetapi agak lambat. Suara-suara rintihan anak muda kedengaran dari tahun ke tahun untuk mendapatkan sebidang tanah untuk padang bola. Rasanya dari zaman saya bujang hinggalah sekarang. Puluhan tahun. Masih ada saja janji yang dibuat dan dimungkiri. Janganlah kita marah nanti jika anak-anak muda ini berkiblatkan warna lain pula. Kita yang menyebabkan mereka tawar hati. Atau jika mereka terlibat dengan gejala negatif seperti dadah, lumba haram, jangan pula kita melatah. Mereka ada banyak masa untuk diisi. Ada banyak tenaga untuk dihabiskan. Dah tak ada aktiviti yang baik, mereka pilih jalan tersebut.

Rasanya pemimpin kampung dah berbuih mulut meminta. Pihak yang berkenaan buka-bukalah mata. Buka-bukalah telinga. Jangan asyik catat dan angguk kemudian berjanji. Generasi Y ni saya lihat lain sedikit. Mereka ini bijak dalam melaksanakan sesuatu dan tidak takut risiko. Soal ketuanan Melayu tidak timbul lagi jika hati mereka telah sakit. Mereka akan ikut perasaan. Bimbang suatu masa nanti Air Molek yang menjadi penyumbang tetap undi akhirnya kecundang. Fikir-fikirkanlah wahai tuan-tuan yang berkuasa akan pandangan saya yang jauh dari tanah kelahiran ini

No comments:

Post a Comment