Thursday 17 May 2012

MENGGAMIT MEMOIR SILAM 2

Beberapa ikon yang masih segar bermain dalam ingatan saya adalah orang-orang yang rapat dengan saya sewaktu saya mula menanjak dewasa. Antaranya Aki Bab. Atau Aki Baba. Ayah kepada Cikgu Kari Baba. Saya sering bersama beliau untuk pergi "mengambil kerbau" di kawasan ladang atau berhampiran rumah makcik Timah di jalan masuk ke Manlok. Selain Aki Bab, Aki Latif, Atuk Md Jai, Atuk Ghaim dan beberapa orang lagi. Kami akan berbasikal dari kampung hingga ke kawasan tersebut kemudian mengesan kedudukan kerbau sebelum menghalau kerbau-kerbau balik ke arah kampung. Yang menariknya semua tuanpunya kerbau ini mengenali kerbau masing-masing. kerbau-kerbau ini akan dihalau melalui kebun getah kemudian menghala ke paya. Merentasi rumah Viman. dari situ akan melalui rumah aruah Pakcik Mat, ayah datuk Nordin dan di masukkan ke dalam kandang di bawah pokok Asam Jawa berhadapan dengan rumah Wan Lema. Di sanalah kerbau tadi akan ditindik atau dipasang tali untuk dibawa ke kandang masing -masing.


Perasaan anak-anak remaja masa tu seperti cowboy yang menghalau lembu-lembu di Amerika. bezanya kami menggunakan basikal untuk mengiringi kerbau-kerbau ini. Kerbau-kerbau ini akan ditambat untuk suatu ketika sebelum dilepaskan semula.

Seperkara lagi yang menarik, saya pernah melihat bagaimana pada awal bulan puasa atau menjelang hari raya, kerbau-kerbau disembelih dan dibahagikan sama rata dengan dengan bayaran yang setimpal. Setiap orang yang membayar jumlah tertentu akan menerima daging, tulang, limpa, hati dan sebagainya. Begitulah muafakatnya masyarakat desa Air Molek.

Namun kini semuanya telah menjadi kenangan. Aki Bab, Aki Latif, Aki Ghaim telah lama berpulang ke rahmatullah. Kandang kerbau di bawah pokok Asam sudah tiada lagi. Tetapi yang masih ada ialah kata-kata aruah Aki Bab. Dalam perut kerbau tu ada TV, kereta, motor dan sebagainya. Puas memikirkan apak maksudnya. Rupanya dengan menjual kerbau pelbagai perkara boleh dimiliki. Tinggi falsafah orang-orang tua dahulu

No comments:

Post a Comment