Thursday 17 May 2012

MENGGAMIT MEMOIR SILAM 3

Tinggal disebuah rumah kecil terletak di Solok Hilir. Bersebelahan dengan rumah Atuk Md Jai dan Atuk Ghaim dulunya adalah rumah Aki Taib. Seorang tukang yang begitu tinggi seninya. Aruah ini adalah abang kepada Atuk Ghaim dan adik kepada Atuk Baba. Beliau adalah datuk kepada Ghani Md Sah yang kini tinggal di seberang.

Selain  dari memiliki kepakaran bertiukang, beliau juga rajin menggetah burung Bayan yang makan buah gemola (belimbing) di belakang rumahnya. Rumah beliau yang asal dulunya terletak di sebelah tapak rumah lama saya sebelum keluarga saya berpindah ke Taman Rebana. Rumah itu musnah ditimpa pokok Bacang dalam satu kejadian ribut. Beliau kemudian membina rumah di bahagian atas sedikit dan sekarang tapak rumah itu telah menjadi rumah Abang Mahat Jumbang.

Seingat saya, tongkat yang digunakan khatib sewaktu membaca khutbah pada hari Jumaat dan Hari Raya adalah hasil tangan beliau. Beliau mengambil masa 1 bulan untuk menyiapkan tongkat ini. Penempahnya adalah Atuk Mail yang dulunya menjadi salah seorang ahli jawatan kuasa masjid.

Selepas sekolah, saya sering menemani beliau membuat sarung parang atau hasil-hasil kerja seni di serambi rumah. Sambil menakuk kayu cempedak untuk dijadikan sarung parang beliau akan bercerita tentang sejarah mahupun cerita-cerita lama. Seingat saya cerita-cerita lisan yang disampaikan adalah cerita Pulau Sembilan, Cerita Pulau jambu, Cerita-cerita jenaka dan banyak lagi. Bayaran untuk mendengar cerita ialah saya harus ke kedai membelikan barang-barang untuk beliau. Antaranya rokok "Signal". Dan kedai yang menjadi tumpuan saya adalah kedai Atuk Kassim yang terletak di hadapan rumah Atuk Keri.

Masa tu, kicap boleh dibeli dengan harga sepuluh sen atau dua puluh sen dan diisi dalam cawan yang dibawa sendiri. Kedai aruah tidaklah  besar sangat tetapi lengkap dan mampu memenuhi keperluan pelanggan. Kedai itu salah satunya kedai milik orang Melayu selain sebuah lagi di Solok Seberang. Masa tu kedai koperasi belum ada lagi. Hanya kedai Apak dan Guan sahaja yang ada.

No comments:

Post a Comment