Sunday 27 May 2012

PERAWAT ALTERNATIF

Seingat saya beberapa orang dari otai-otai kampung pernah menjadi perawat alternatif kepada penduduk kampung. Khidmat mereka ini amatlah berguna dan ternyata berkesan. Kebanyakan mereka telah tiada. Telah kembali ke rahmatullah. Yang paling rapat dengan saya adalah aruah moyang saya. Aruah Wan Enom. Waktu itu saya baru di darjah 1. Selalu juga saya lihat orang kampung datang meminta tangkal itu dan ini. Pengerasnya amat murah. Dua tiga puluh sen. Separuhnya saya punya untuk beli ais krim potong. Yang dipotong dan dicucuk dengan lidi. Ada lagi ke ais krim potong ni? Demam sikit minta tangkal dengan aruah moyang yang saya panggil wan. Aruah meninggal pada usia yang lanjut. Hampir 100 tahun umurnya. Telah bongkok waktu itu.

Selain Wan Enom, Atuk Tambichyk- ayah kakek juga antara perawat tradisional yang agak terkenal. Beliau juga merupakan Pawang Kampung. Salah seorang ikon kampung pada zaman saya. Mana-mana yang menghidap penyakit yang teruk, pada aruah ini mereka mengadu. Aruah juga telah lama tiada. Yang tinggal anak-anaknya. salah seorangnya adalah Pak Long Sahal. Yang sering menjadi kawan saya minum kalau pulang ke kampung. Agak lucu orangnya.

Seorang lagi yang saya ingat adalah Aki Baharom. Atau Imam Baharom. Aruah telah meninggal dunia. Begitu juga Pakcik Ahmad, anaknya yang membawa kereta sewa. Aruah sering tampil dengan kot kelabu dan menghisap cerutu. Salah seorang perawat yang terkenal di kampung kita. Beliau sering datang dengan basikal besarnya. Dengan gaya yang lembut dan tanpa banyak bicara, beliau akan melakukan tugasnya dan pulang setelah menjamah minuman yang disediakan.

Juga tidak lupa dengan Wan Kenit. Ibu Datuk Md Jai yang mempunyai kebolehan mengurut. Pada aruah ini juga orang kampung sering datang untuk berurut atau meminta tangkal jika ketegur dan sebagainya. Anaknya, Datuk Md Jai. Juga guru mengaji saya juga turut mempunyai kebolehan tertentu. Kini guru saya ini sudah  semakin uzur.Namun setiap kali upacara menyembelih kambing, lembu atau kerbau, Atuk Md Jai yang akan mengambil peranan utama. Hasil sembelihannya tidak berbau, lembut dan manis. Kata orang ada petua. Barangkali benar.Yang saya ingat saya selalu membantu Atuk Md Jai memesin getah di paya. Beliau akan memasukkan getah dan saya akan memutar mesinnya. Kadang kala tak terputar dek kerana tebalnya. Tapi getah Atuk Md Jai sangat cantik. Pernah menjadi bahan pameran Risda kerana ketebalan dan ukuranya yang cantik dan mengikut standard. Selain Atu Md Jai yang sering saya temui di tempat memesin getah, seorang lagi ikon yang sering menarik perhatian saya adalah Atuk Lassim. Atuk Lassim juga telah meninggal dunia.

Terdapat juga perawat-perawat sambilan tetapi mempunyai kepakaran tersendiri. Antaranya yang saya ingat adalah Imam Kadat. Amat serasi jika kanak-kanak atau budak kecil mengidap kenan. Wan Nah, isteri aruah Datuk Lewat seberang juga mempunyai kebolehan yang agak menarik. Yang lain-lain saya telah lupa. Barangkali saudara Azman Kari boleh membantu saya mengingatkan semula. Agar dapat disusun satu cerita mengenai mereka yang pernah berjasa pada penduduk kampung.

No comments:

Post a Comment