Thursday 17 May 2012

Pelajar SK Air Jernih mulakan persekolahan dalam keadaan daif

 


Cikgu Emy Omar, dibantu Mohd. Ezhan Shafri Mohd Selan dan Muhd. Ikmal Adib (depan) membawa buku latihan ke kontena yang menempatkan pejabat dan bilik guru di Kuala Sungai Baru, Alor Gajah, semalam.
- Gambar GAIE UCHEL


ALOR GAJAH 5 Jan. - Sebanyak 216 murid dan 15 guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Air Jernih di sini memulakan sesi persekolahan 2009 yang bermula hari ini dalam keadaan yang begitu daif.
Ibu bapa yang sejak dari awal pagi datang untuk menghantar anak ke sekolah, jelas kecewa melihat keadaan dan persekitaran sekolah yang tidak teratur hingga menjejaskan sesi hari pertama persekolahan.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati para guru terpaksa menggunakan dua buah kontena untuk dijadikan pejabat, perpustakaan dan bilik guru.
Manakala sebahagian daripada murid-murid pula terpaksa ditempatkan di kawasan kantin sekolah yang dijadikan bilik darjah.
Lebih menyedihkan, kawasan persekitaran sekolah menjadi sempit dan berbahaya kepada murid-murid ekoran pembinaan dua buah bangunan sekolah baru yang masih belum siap.
Malah beberapa serpihan tajam atap genting, paku, zink dan kayu tajam dilihat bertaburan berhampiran sekolah dan dalam longkang yang boleh mengancam keselamatan murid.
Hanya dua buah bangunan lama yang mempunyai lapan bilik darjah boleh digunakan.
Masalah di sekolah itu berpunca daripada kegagalan pihak berkenaan menyiapkan projek pembinaan bangunan baru mengandungi dua blok empat tingkat mengikut jadual.
Difahamkan ia sepatutnya siap Julai lalu tetapi telah ditangguhkan sehingga November lalu dan ditangguh sekali lagi sehingga Februari ini.
Kebanyakan ibu bapa pelajar yang ditemui melahirkan rasa sedih dan kecewa melihat keadaan sekolah yang sempit dan tidak teratur yang terpaksa diharungi oleh anak-anak mereka ketika memulakan sesi persekolahan pertama.
Seorang bapa, Ahmad Totin, 58, berkata, suasana sekolah seperti itu dilihat seperti tidak sesuai untuk murid-murid memulakan sesi persekolahan.
"Macam mana hendak belajar, sekolah baru tak siap. Bilik darjah pula kurang selain keadaan persekitaran sekolah yang sempit dan berselerak," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan negeri khususnya Kementerian Pelajaran bertindak untuk mengatasi masalah yang menimpa sekolah berkenaan.
Rakannya, Bahari Rantau, 56, turut melahirkan rasa sedih dan mengharapkan supaya pihak bertanggungjawab dapat menyiapkan segera bangunan baru sekolah itu demi keselesaan murid dan guru.
''Tidak sepatutnya sekolah tidak siap. Melihat guru-guru terpaksa menggunakan kontena sebagai pejabat dan bilik guru, ia memang amat memalukan," katanya.
Suri rumah, Rohaida Abdul Rahman, 31, berkata, selain faktor keselesaan pelajar, keselamatan murid-murid juga harus diberi keutamaan dan sentiasa dipantau.
"Pelbagai serpihan kayu dan zink dari tapak bangunan baru yang terbengkalai di sebelah sekolah boleh mencederakan pelajar jika ia tidak dibuang," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi, Ismail Osman, ketika melawat sekolah tersebut berkata, persekitaran sekolah terbabit menimbulkan suasana yang tidak selesa untuk sesi pembelajaran.
"Dengan segala prasarana seperti ini, saya lihat ia tidak sesuai untuk pembelajaran.
"Saya amat berharap, Kementerian Kerja Raya dapat melantik kontraktor baru untuk meneruskan projek ini kerana kontraktor lama tidak mahu lagi meneruskan pembinaan sejak enam bulan lalu," katanya

Sumber: Utusan Online

No comments:

Post a Comment