Thursday 24 May 2012

SIMPANG PUNCA SESAK

KUALA SUNGAI BARU - Akibat arus pembangunan yang pesat di pekan ini menyebabkan pengguna jalan raya dan penduduk sekitar di pekan Kuala Sungai Baru melahirkan kebimbangan apabila jalan utama sentiasa sibuk dengan kenderaan sehingga persimpangan utama menjadi sesak.

Pesara tentera, Ishak Atan, 70, berkata, kebanyakan penduduk yang bekerja di sekitar Port Dickson dan Pengkalan Balak kerap menggunakan jalan berkenaan sebagai laluan alternatif untuk ke tempat kerja.

Menurutnya, kebiasaannya laluan amat sesak apabila tiba waktu puncak terutama awal pagi, tengah hari dan petang.

“Dahulu laluan di sini tidak sesibuk sekarang tetapi apabila banyak kenderaan yang entah dari mana datangnya, jalan ini jadi sibuk.

"Lebih memburukkan keadaan apabila kenderaan diletakkan sesuka hati di tepi jalan sehingga pengguna yang mahu masuk ke simpang terpaksa berhati-hati dan menunggu lama bagi meneruskan perjalanan," katanya.

Ishak berkata, kemudahan jambatan yang dibina juga terlalu tinggi dan jaraknya pula kurang 20 meter dari persimpangan utama sehingga mengganggu penglihatan pemandu dari arah bertentangan.

Sementara itu, Ahmad Jaafar, 75, pula berkata, jika pengguna datang dari arah Masjid Tanah, mereka mesti menempuh beberapa simpang berbahaya terutama simpang ke Taman Seri Gamelan, Kampung Baru, Ayer Molek dan Muara Jeti Kuala Sungai Baru.

“Salah satu daripada simpang berkenaan menjadi faktor utama kenapa laluan ini boleh menjadi begitu sesak dan kerap berlaku :kemalangan. Persimpangan sedia ada juga tiada kemudahan lampu isyarat.

“Minggu ini sahaja sudah dua kemalangan berlaku, betul-betul di simpang Ayer Molek walaupun tidak membabitkan kematian tetapi tetap mengancam nyawa pengguna lain,” katanya.

Kerani Powertek Berhad yang mahu dikenali sebagai, Shakila, 36, berharap, pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat memikirkan sesuatu demi memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna.

"Saya pernah melihat motosikal dinaiki seorang pakcik terpaksa berhenti di tengah laluan bersimpang sewaktu mahu memasuki simpang jalan ke Ayer Molek sebelum dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan disebabkan terlindung,” katanya.

Sinar Harian
14 Jul 2010

No comments:

Post a Comment