Sunday 20 May 2012

MENGGAMIT MEMOIR SILAM

Musim Bersawah 1
Rasanya anak generasi Y sekarang ini tidak merasa keseronokan musim bersawah padi di kampung kita. Biarpun sawah tidak seluas bendang di Kedah dan Perlis namun keriangan orang-orang kampung menuai padi jelas terpancar pada wajah mereka. Musim inilah ramai yang pulang ke kampung untuk merasa beras baru.
Gambar Hiasan
Musim bersawah di kampung Air Molek telah lama ditinggalkan akibat kegagalan pengairan air. Ini bukan berlaku di kampung kita sahaja tetapi hampir kebanyakan kampung gara-gara jurutera yang mengubah sistem pengairan tradisional ke pengairan moden yang melenyapkan terus bekalan air.

Dulu pada musim begini, akan kelihatan kerbau-kerbau menarik bajak atau sikat untuk menggemburkan tanah sebelum digantikan oleh jentera pembajak. Hanya segelintir sahaja yang mampu menggunakan mesin kubota. Namun keriangan jelas kelihatan. Di mana-mana kelihatan kerbau dengan tubuh berkilat menarik bajak.

Selesai membajak sawah akan kelihatan pula, deretan kaum ibu menggandar anak-anak padi untuk digunakan dalam proses "mengubah". Maksudnya anak padi yang disemai ditapak semaian akan dicabut dan dialihkan ke petak-petak sawah. Besar, kecil, tua, muda kelihatan saling bertolong bantu. Menjemur diri di tengah panas. Berehat sebentar sambil menjamah nasih putih berlaukkan ikan sawah yang digoreng berlada atau sambal kata orang kampung. Sambil berbincang strategi kehidupan.
Gambar Hiasan
Cukup masa akan kelihatan pula deretan orang-orang kampung memasuki kawasan sawah sama ada dari hujung tanjung atau dari rumah aruah Saiman, berhampiran dengan rumah Adam Palit. Kalau tak silap saya ada sebatang pokok Sena di situ dan sebuah jambatan kayu. Di atas sedikit, ada sebatang pokok mangga yanjg sering menjadi balingan budak-budak. Buahnya akan menjadi makanan dan dicecah dengan garam atau kicap. Waktu menuai ini adalah waktu yang paling riang. Hasil telah boleh dinikmati.

Batang-batang padi dibentuk menjadi serunai. Ditiup oleh kanak-kanak. Yang dewasa mencari sisa-sisa lopak air untuk meninjau jika ada ikan yang terkurung di lopak tersebut. Suatu masa dahulu juga, orang-orang kampung pernah memasang jaring untuk menangkap burung ayam-ayam. Tapi setelah diwartakan sebagai perbuatan yang salah aktiviti itu dihentikan. Batang-batang padi yang masih segar dibawa pulang untuk makanan kerbau yang ditambat.

No comments:

Post a Comment